MUHAMAD Harith Azizi (tengah) bertugas sebagai Penolong Pengurus Ladang Felcra Kawasan Lakai, di Jelebu.
Pasir Salak: “Ayah saya seorang buruh ladang dan ibu suri rumah, melihat mereka semakin berusia membuatkan saya tekad memanfaatkan peluang belajar untuk ubah taraf hidup keluarga,” kata graduan Kolej Felcra, Muhamad Harith Azizi Safian.
Generasi ketiga Felcra berusia 22 tahun itu kini mampu tersenyum kerana kegigihannya menuntut ilmu dan kemahiran melalui program Diploma Pengurusan Ladang UiTM di Kolej Felcra di sini selama dua tahun enam bulan akhirnya berbaloi apabila diterima bekerja sebagai Penolong Pengurus Ladang Felcra Kawasan Lakai, Jelebu, Negeri Sembilan.
“Ayah (Safian Mohamad Naseb, 56) dan ibu (Halimah Ayob, 51) cukup gembira apabila mendapat tahu saya dapat tawaran pekerjaan sebaik selepas tamatkan pengajian September lalu.
“Sejak saya kecil, ayah menyara kehidupan kami dengan kebun sawit di Felcra Seberang Perak ini, kini saya dapat bantu galas tanggungjawab terhadap dua lagi adik-beradik saya yang masih bersekolah,” katanya.
Menurut anak ketiga dari lima beradik itu, lahir dan membesar di kawasan luar bandar menyedarkan dia bahawa sektor perladangan komoditi seperti sawit menjanjikan peluang pekerjaan yang luas.
“Saya rasa bertuah kerana yuran pengajian adalah percuma bagi penuntut yang datang dari keluarga berpendapatan rendah (B40), ia sememangnya dapat mengurangkan beban keluarga dan membantu saya lebih fokus.
“Boleh dirumuskan pembelajaran kami berasaskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang membabitkan pembelajaran secara hands-on di ladang Felcra Seberang Perak yang terletak hampir dengan kolej, selain pengajaran teori di bilik kuliah,” katanya.
Muhamad Harith Azizi yang baru bergradusi 5 November lalu berkata, program diploma itu membekalkannya dengan kemahiran meluas dalam kursus penting berkaitan dengan industri perladangan seperti Tanaman Perladangan, Pengurusan Penyakit dan Perosak Tanaman, Pengendalian Ladang Secara Umum, Operasi Mekanisasi Ladang serta Pemasaran dan Isu Perundangan Dalam Perladangan.
“Semua pengetahuan ini membolehkan saya bertugas menguruskan tenaga kerja di ladang dan menyelesaikan sesuatu masalah tanaman dengan segera,” katanya.
Kolej Felcra terletak di Bandar Baru Seberang Perak, Kampung Gajah, di sini mula ditubuhkan pada 25 Mei 2012 di bawah Felcra Education Services Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Felcra Berhad. Pada 18 Januari 2015, institut pengajian tinggi (IPT) itu mula beroperasi bagi pendaftaran pelajar ambilan pertama.
Pengerusi Felcra Education Services Sdn Bhd, Ramelle Ashram Ramli, berkata penubuhan Kolej Felcra bertujuan memberi peluang serta menyediakan tempat untuk anak warga Felcra Berhad khususnya dan masyarakat luar bandar amnya mendapatkan latihan dan kemahiran di peringkat sijil dan diploma.
Ia supaya generasi baharu Felcra akan lebih berdaya saing dan menambah bilangan modal insan yang berguna kepada negara.
Menurutnya, terdapat tiga program usahasama UiTM ditawarkan di Kolej Felcra iaitu Diploma Pengurusan Ladang UiTM, Diploma Pengajian Perniagaan UiTM dan Pra Diploma Perdagangan UiTM.
Selain itu, katanya, ia turut menawarkan tujuh program dalaman iaitu Sijil Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Diploma Pengurusan Sumber Manusia, Diploma Pengurusan Perniagaan, Diploma Pengurusan Amalan Halal, Diploma Teknologi Pertanian dan Diploma Pengurusan Pasca-Tuai.
“Berdasarkan Laporan Kajian Pengesanan Graduan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), kadar kebolehpasaran graduan Kolej Felcra dari tahun 2017 hingga 2023 adalah sebanyak 83.3 peratus.
“Kolej Felcra juga bakal menubuhkan institusi TVET di Felcra Seberang Perak dengan menawarkan program Penyeliaan dan Operasi Penanaman Kelapa Sawit serta Operasi Mekanisasi Ladang Sawit dengan kerjasama kementerian dan agensi berkaitan bagi memperkasa TVET di Malaysia.
“Pihak kami menyahut aspirasi kerajaan untuk memperkukuhkan industri makanan negara dengan melahirkan generasi yang professional dalam bidang ini,” katanya.
Sumber : Harian Metro Online