Mohamad Hidayat menunjukkan kotak bantuan makanan yang uruskan YP untuk diagihkan kepada golongan miskin tegar, B40 dan mereka yang memerlukan di seluruh kawasan DUN di Perak.

IPOH – Program pemberian bantuan kotak makanan yang dilaksanakan Yayasan Perak (YP) telah banyak memberi harapan buat golongan yang memerlukan untuk meneruskan hidup.

Demikian dinyatakan Pengurus Pentadbiran YP, Mohamad Hidayat Abd Halim susulan hasil positif pelaksanaan program tersebut yang dimulakan pada tahun 2019 itu.

Katanya, sepanjang pelaksanaan program itu, YP telah menjadi agensi pelaksana program tersebut yang mana ia bukan sahaja diberikan kepada senarai penerima yang layak setiap bulan tetapi juga kepada mereka-mereka yang berhadapan dengan kesulitan kerana ketiadaan makanan.

Dari segi pelaksanaan katanya, sebanyak 6,000 kotak makanan disediakan untuk diedarkan kepada para penerima yang layak di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Setiap kawasan DUN diperuntukkan 100 kotak makanan untuk diedarkan kepada golongan miskin tegar dan B40.

“Nama penerima ini dicadangkan oleh Pusat-pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), penghulu dan ketua kampung. Untuk kali ini, agihan dibuat mulai Oktober menerusi pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Tambah Mohamad Hidayat, pengagihan bantuan kotak makanan tersebut tidak lagi melalui Pusat Khidmat ADUN susulan daripada beberapa isu berbangkit selain aduan-aduan yang diterima daripada pihak pembekal.

Antara aduan yang diterima oleh YP ialah mengubahsuai kotak bantuan makanan dengan menampal pelekat lain sehingga menutup maklumat penting pada kotak berkenaan.

Selain itu, aduan juga turut melibatkan isu kelewatan pengagihan kotak-kotak bantuan makanan dan sebagainya.

Jelasnya, isu-isu seumpama itu akan dikhuatiri boleh menjejaskan para penerima bantuan selain mengelakkan makanan yang diagihkan tamat tempoh.

“Menjadi hasrat kerajaan negeri untuk memastikan rakyat tidak kira di kawasan mana (DUN pembangkang atau kerajaan) menerima manfaat daripada bantuan yang disediakan,” jelasnya.

Program pemberian kita makanan YP melibatkan kos sebanyak RM5 juta setiap tahun yang mana setiap kotak mengandungi barangan keperluan seperti beras, gula, tepung, teh, kopi, bihun, ikan sardin dan minyak masak dengan nilai keseluruhan kira-kira RM70.

Pemberian Kotak Makanan Yayasan Perak merupakan inisiatif yang terkandung di dalam program flagship keenam Pelan Perak Sejahtera 2030 iaitu Membasmi Miskin Tegar 2025.

Menerusi Pelan Perak Sejahtera 2030, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad melaksanakan pendekatan memberi peruntukan sama rata kepada semua ADUN termasuk pembangkang bagi merealisasikan Sejahtera Politik sebagai satu sasaran utama pelan tersebut.

Sumber : Sinar Harian Online