SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH
PETALING JAYA: Satu klip video titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang tular baru-baru ini telah diolah bagi mengaitkan dan mengheret secara langsung atau tidak langsung kedudukan seorang raja pemerintah untuk tujuan politik kepartian.
Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Dr Mohd. Zahidi Zainuddin menjelaskan, pihaknya mendapati satu video ditularkan seorang wanita yang memuat naik satu bahagian kecil titah Sultan Nazrin Shah yang dizahirkan baginda pada 2013 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyentuh mengenai Pas.
Katanya, video tersebut memilih memuat naik sebahagian kecil titah Sultan Nazrin Shah yang ketika itu Pemangku Raja Perak yang dizahirkan pada 19 Februari 2013 pada Majlis Wacana Perpaduan Ummah anjuran DBP bertema ‘Perpaduan Ummah; Harapan; Realiti dan Cabaran’.
“Dalam wacana tersebut, baginda menzahirkan analisis melibatkan dua buah parti terbesar Melayu iaitu UMNO dan Pas, yang merupakan dua kuasa politik Melayu dominan ketika itu. Baginda tidak hanya menzahirkan kata-kata positif terhadap Pas (pada tahun 2013) tetapi secara seimbang turut menzahirkan kupasan yang sama terhadap UMNO.
“Titah baginda mengandungi 7,500 patah perkataan dan mengambil masa 90 minit semasa dizahirkan. Bahagian yang memuji parti Pas hanyalah petikan pendek, begitu juga pujian terhadap UMNO. Untuk itu, tidak timbul bahawa baginda hanya memandang tinggi mengenai parti Pas.
“Malah kandungan titah tersebut sarat menghuraikan sejarah kedua-dua parti Melayu tersebut dan demi kebaikan bangsa dan negara, pentingnya untuk ummah mencari jalan menjalinkan persefahaman dan kerjasama meskipun memilih pendekatan politik yang berbeza,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd. Zahidi, Sultan Nazrin Shah memberi ulasan seimbang antara dua parti politik Melayu tersebut dan turut menzahirkan peringatan kepada kedua-dua pihak agar keghairahan mendapatkan sokongan politik dan kuasa jangan sampai memecahbelahkan bangsa serta memusnahkan negara.
Sebaliknya, katanya, dipercayai ada pihak memilih memetik titah Sultan Nazrin Shah pada 2013 itu untuk ditularkan semula dengan tujuan mahu mempengaruhi pengundi agar menyokong Pas dalam suasana menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.
Sehubungan itu beliau memaklumkan, Pejabat Sultan Perak telah membuat laporan polis pada 29 Julai lalu demi melindungi nama baik Sultan Perak daripada diheret dan dicemari oleh mana-mana pihak untuk meraih laba politik,
“Melalui kenyataan media ini, ditegaskan bahawa Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah tidak sama sekali memihak dan jauh sekali daripada memberikan sokongan secara terbuka kepada mana-mana kumpulan politik.
“Perbuatan menularkan video yang berkaitan sangat tidak beretika dan perbuatan seperti ini disifatkan tidak bersopan kepada seorang raja pemerintah dan telah mencemarkan nama baik takhta. Oleh itu, penularan video yang berkaitan wajib dihentikan,” katanya.
Sumber : Utusan Malaysia Online