PARA pelajar memasuki dewan untuk menduduki peperiksaan SPM di SMK Raja Perempuan di Ipoh, kelmarin. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
IPOH: Pelajar yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika ini lega kerana dapat membuat persediaan secukupnya menerusi inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani (TCS), iaitu program Kerajaan Negeri Perak.
Program diilhamkan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad di bawah pelan Perak Sejahtera 2030 itu menyediakan bantuan makanan percuma selama 20 hari sepanjang peperiksaan, kelas tambahan dan tuisyen.
Usaha itu diteruskan untuk tahun ketiga berbentuk makanan tengah hari kepada pelajar semasa kelas tambahan, kelas intensif dan tuisyen bermula cuti penggal ketiga 2023/2024 pada 15 Disember lalu hingga ke tarikh peperiksaan pada 21 Mac ini.
Pada masa sama, program Anak Angkat TCS dan beberapa lagi yang seumpamanya dilaksanakan bagi membantu pelajar mendapat bantuan secukupnya menghadapi peperiksaan.
Pelajar menyifatkan menerusi program itu, wang perbelanjaan makanan dapat dijimatkan untuk membeli buku rujukan atau bahan-bahan pendidikan yang diperlukan semasa persediaan peperiksaan.
Seorang pelajar, Nur Atikah Ahmad Said dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Haji Mohd Taib di Chemor, Ipoh berkata, bantuan itu membolehkannya mempunyai lebihan wang untuk membeli buku rujukan atau bahan-bahan pendidikan yang diperlukan semasa persediaan peperiksaan.
“Dengan adanya bantuan ini saya dapat menjimatkan duit belanja. Saya boleh menggunakan wang yang sepatutnya untuk membeli makanan bagi kegunaan lain,” katanya.
Nurul Najihah Najwa Mohamad Zaki daripada SMK Seri Ampang di Ipoh, pula berkata, bantuan itu dapat membantunya fokus dan bertenaga semasa belajar.
“Makanan yang cukup nutrisi amatlah diperlukan bagi menggantikan tenaga yang telah digunakan semasa sesi persekolahan,” katanya.
Sementara itu, Chow Hui Wen dari SMK Seri Ampang di Ipoh berkata, bantuan seperti itu membolehkannya mengulang kaji dan membuat banyak latihan untuk subjek Matematik serta Bahasa Inggeris secara percuma.
Pelajar M. Nantene daripada SMK Dato’ Haji Mohd Taib gembira apabila turut meraih manfaat hasil pelbagai program kerajaan negeri yang membantunya dalam pelajaran.
“Melalui program Yayasan Bina Upaya (YBU), saya dapat meningkatkan prestasi saya dalam peperiksaan dan memperoleh sebuah komputer riba sebagai penghargaan. Terima kasih pihak YBU kerana memberikan peluang untuk menyertai program ini,” katanya.
Sumber : Utusan Malaysia Online