Kelas bermula Februari lalu dibuat secara mingguan babit kira-kira 20 murid Tahun 2 hingga Tahun 4. – Foto ihsan KMM
TAIPING: Penguasaan bahasa Inggeris penting kerana ia bahasa utama dalam komunikasi antarabangsa dan kunci memperoleh sebahagian besar ilmu dalam mata pelajaran Sains serta Matematik.
Menyedari hal itu, Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Marhaen Taiping (KMM) menguruskan Kelas Ilmu Marhaen membabitkan tusiyen percuma kepada kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan untuk Program Perumahan Rakyat (PPR) di Simpang Perdana, di sini.
Pengerusi KMM, Faizzul Amri Shahabuddin, 44, berkata kelas rintis yang bermula sejak Februari lalu itu dibuat secara mingguan membabitkan kira-kira 20 murid Tahun 2 hingga Tahun 4 bagi mendedah dan meningkatkan kemahiran mereka bertutur bahasa Inggeris.
“Kita tidak sasar pelajar mendapat A, sebaliknya membantu memantapkan komunikasi mereka supaya tidak segan, mahir, dan berani bertutur dalam bahasa Inggeris bagi percakapan harian.
“Sasaran adalah kepada anak dalam keluarga B40, khususnya mereka yang kurang berkemampuan. Bagaimanapun, setiap pelajar yang mengikuti kelas itu akan disaring termasuk proses temu duga bagi memastikan inisiatif itu sampai kepada golongan sasar seperti diinginkan,” katanya kepada BH.
Dapat sokongan LPHP
Menurutnya, kelas tambahan dikenali sebagai projek Gedung Ilmu Marhaen itu mendapat sokongan sepenuhnya daripada Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP). Ia termasuk membiayai sepenuhnya tenaga pengajar dan memperuntukkan sebuah rumah di PPR itu yang dijadikan lokasi kelas diadakan.
“Jika projek ini diterima dengan jaya, mungkin kita akan mempergiatkan lagi selain menambah bilangan mata pelajaran.
“Menerusi kerjasama ini, KMM akan mengendalikan projek ini sepenuhnya dari A sampai Z. Ia meliputi pencarian tenaga pengajar, pemantauan agar proses pembelajaran bertepatan dengan kualiti serta sasaran dikehendaki, saringan bagi pemilihan pelajar dan lain-lain.
“Manakala LPHP pula akan terus memberikan sokongan dan dukungan pembiayaan,” katanya.
Menurutnya, kepercayaan diberikan oleh LPHP bagi pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu kerana KMM adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berorientasikan kepada kebajikan.
Selain itu KMM turut menguruskan sebuah rumah transit rakan jalanan, iaitu tempat perlindungan sementara untuk golongan seperti gelandangan di sini
“KMM yang mempunyai empat sukarelawan tetap dan 10 sukarelawan separuh masa turut menguruskan program dapur komuniti KMM di Dataran Amanjaya Gunung Semanggol yang berfungsi sebagai tempat komuniti bagi ibu tunggal dan asnaf menimba ilmu amali berkaitan bakeri, kek, roti dan pastri.
“Atas pelbagai usaha kebajikan yang dibuat KMM, melayakkan NGO kami ini merangkul anugerah Tokoh Maulidur Rasul Kategori NGO Negeri Perak 2023 selain Malaysian GPM Sustainability Awards 2023,” katanya.
Menerusi pelan pembangunan negeri Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, LPHP diletakkan sebagai antara agensi peneraju bagi mencapai agenda menerusi intipati flagship Perumahan Sejahtera. Pelan sama turut menggariskan Program Menyantuni Golongan Rentan sebagai antara flagship.
Sumber : Berita Harian Online