Saarani ketika menyampaikan pembentangan Laporan Kemajuan Tahun Kedua Perak Sejahtera 2030 di Dewan Merdeka, Seri Manjung.- Foto NSTP/Muhamad Lokman Khairi
LUMUT: Kerajaan Perak menambah baik pelan pembangunan Perak Sejahtera 2030 dengan memperkenalkan tiga agenda baharu sebagai memastikan usaha memakmurkan negeri berjaya dicapai secara menyeluruh.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata perkara itu membabitkan Pembangunan Sosial, Pemerkasaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Kelestarian Alam dan Biodiversiti menjadikan keseluruhan sebanyak sembilan agenda di dalam pelan berkenaan.
Beliau berkata, penambahan agenda itu susulan program Permukiman Pemimpin-pemimpin Kerajaan yang dijalankan dua hari bermula 15 Mei lalu.
“Berdasarkan pemantauan dan penilaian yang dibuat pelbagai jabatan dan agensi pelaksana, pelan itu kini berada di landasan betul dalam memenuhi kesemua sembilan agenda yang ditetapkan bagi mencapai tiga sasaran iaitu Sejahtera Ekonomi, Sejahtera Sosial dan Sejahtera Politik.
“Dalam tempoh dua tahun ini, kerajaan negeri berusaha mewujudkan kestabilan politik melalui dasar berorientasikan rakyat dan amalan tadbir urus yang baik bagi menarik keyakinan pelabur,” katanya kepada pemberita ketika Majlis Pembentangan Laporan Kemajuan Tahun Kedua Perak Sejahtera 2030 di Dewan Merdeka Majlis Perbandaran Manjung (MPM), di sini, hari ini.
Untuk rekod, enam agenda asal pelan berkenaan merangkumi Sekuriti Makanan, Ekonomi Digital, Koridor TVET, Perlombongan Bertanggungjawab, Pembuatan Keputusan Dipacu Data dan Tabir Urus Projek Berkepentingan Negeri.
Pelan Perak Sejahtera 2030 dilancarkan oleh Saarani pada 15 Jun 2022 sebagai garis panduan bagi pembentukan dasar, inisiatif dan agenda utama negeri bagi tahun 2022 hingga 2030.
Saarani berkata, dalam tempoh dua tahun pelaksanaan pelan ini, pelbagai inisiatif dan program Sejahtera Sosial yang dilaksanakan sudah menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan.
“Memasuki tahun kedua pelaksanaan Perak Sejahtera 2030, kerajaan negeri kini lebih memfokuskan kepada pelaksanaan dan pemantauan kemajuan Perak Sejahtera 2030 melalui dua komponen iaitu Petunjuk Prestasi Utama Perak Sejahtera dan Indeks Kesejahteraan Perak.
“Kerajaan negeri juga terus giat memperkasa lagi pelan pembangunan ini dengan memerdaya ekonomi dan meneroka sumber pendapatan baharu khususnya dalam sektor ekonomi biru dan ekonomi penjagaan,” katanya.
Sumber : Berita Harian Online