Mohd Shahrizan bersama Amalia di hadapan kios kuetiau diusahakan mereka.
KUALA KANGSAR: Keputusan berhenti kerja sebagai juruteknik di sebuah syarikat telekomunikasi terkemuka bagi menumpukan perniagaan berasaskan menu kuetiau bersama isterinya membuahkan hasil apabila kini memiliki dua restoran di samping lapan gerai francais.
Mohd Shahrizan Mohamad Nazir, 42, berkata kegagalan dalam perniagaan kuetiau yang diusahakan sebelum itu, juga tidak mematahkan semangat beliau dan isteri, Amalia Abd Aziz, 40, untuk kembali membangunkan perniagaan sama selain mengeluarkan produk berupa pes memasak hidangan berkenaan.
Mohd Shahrizan berkata, perniagaannya bermula dengan tapak gerai tepi jalan sebelum membuka restoran di Chandan Putri, di sini lima tahun kemudian iaitu pada 2009 dengan jenama Chor Char Koay Teow.
Bagaimanapun perniagaan di restoran hanya bertahan untuk tiga tahun.
Lulusan Diploma Kejuruteraan Elektrik Perhubungan dari Politeknik Ungku Omar (PUO), Ipoh itu berkata, beliau kemudian berhenti seketika perniagaan kuetiau untuk beralih menjadi juruteknik sepenuhnya berikutan keuntungan diperoleh melalui jualan di restoran tidak mampu menampung kos operasi.
Katanya, dua tahun selepas itu beliau membuat keputusan berhenti kerja untuk mengusahakan semula perniagaan kuetiau dengan menumpang gerai tapak restoran di kawasan Bukit Chandan selama empat tahun, sebelum akhirnya kembali membuka restoran sendiri sekitar 2014.
“Sejak itu, perniagaan restoran berasaskan kuetiau semakin berkembang sehingga dapat menggaji seramai 22 pekerja seperti sekarang. Selain dua restoran, kami juga mempunyai lapan gerai francais antaranya di Ipoh, Gua Musang, Bukit Jalil, Selayang serta turut mengoperasikan sebuah trak makanan.
“Ketika ini kami juga membuka bengkel menghasilkan pes memasak kuetiau dengan kapasiti pengeluaran 2,000 botol sebulan dan kini masih dalam proses pensijilan halal bagi menembusi pasaran di pasar raya serta kedai runcit di luar Kuala Kangsar,” katanya kepada BH.
Pembukaan prafrancais
Mohd Shahrizan berkata, selain fokus meluaskan pasaran produk pes kuetiau, fokus kini turut diberikan kepada pembukaan prafrancais atau rangkaian yang dimiliki francaisi dengan dibantu oleh Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) melalui program Business In Transformation (BIT).
Enggan berada di zon selesa, Mohd Shahrizan berkata kini dia masih bergiat dengan Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) sebagai agensi penyelaras, pelaksana dan pemantau dasar dan program usahawan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negeri dan menyifatkan ia sangat membantu.
“STeP membolehkan kami terbabit dalam pelbagai program termasuk dalam mengetengahkan pes penghasilan kami di pasaran yang lebih meluas, selain menawarkan pelbagai peluang dan bimbingan seperti penganjuran taklimat berkaitan permohonan bantuan seperti geran dan pembiayaan dari pelbagai agensi.
“Seperti juga kami yang baharu beberapa bulan memperoleh geran bernilai RM20,000 daripada MARDI bagi pembelian mesin memproses sos pes kuetiau yang mana maklumat bagi memperoleh geran itu juga melalui sesi taklimat STeP,” katanya.
Beliau yang memperoleh bantuan beberapa agensi sebelum ini berkata, pembabitan menerusi STeP sangat bermakna untuk usahawan.
Ia lebih mudah apabila permohonan geran antara pelbagai agensi diselaraskan.
“Sebelum dari itu lagi, agensi antaranya MARA, dan Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME Corp), selain pembabitan bersama Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) banyak membantu mengembangkan perniagaan kami,” katanya.
STeP diletakkan sebagai antara agensi peneraju bagi ‘flagship’ atau inti pati Program Pembolehdayaan Modal Insan & Pembelajaran Sepanjang Hayat di bawah sasaran ‘1 Keluarga 1 Usahawan’ serta ‘1 Daerah 1 Aktiviti Ekonomi’ di dalam pelan pembangunan negeri, Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Sumber : Berita Harian Online