Mohamad Azlin menunjukkan hasil cili yang ditanamnya. – Foto FAMA
Gerik: Hilang pekerjaan sebagai juruteknik dalam bidang minyak dan gas di pelantar susulan pandemik COVID-19 pada 2020, tidak melemahkan semangat Mohamad Azlin Md Nor, untuk bangkit mengusahakan tanaman sayuran termasuk secara fertigasi di kampung halaman.
Mengusahakan tanaman sayuran seperti terung, timun, peria, cili dan bendi di beberapa kebun seluas keseluruhan hampir 4 hektar di atas tanah milik sendiri serta peninggalan keluarga, Mohamad Azlin, 48, yang juga bapa kepada lima anak itu, berkata pendapatannya kini mampu menyaingi apa yang diperoleh ketika bekerja di pelantar minyak.
Beliau berkata, bagi semusim tanaman dianggarkan untuk tempoh enam bulan, kebunnya dengan dibantu tujuh pekerja yang rata-ratanya golongan asnaf dan ibu tunggal mampu menghasilkan 12 tan metrik terung, timun (12 tan), peria (4 tan), cili (6 tan), serta bendi (3 tan).
Katanya, pandemik pada 2020, menyebabkan dia sekeluarga pulang ke kampungnya di Kampung Batu Hampar, Gerik, akibat kekurangan tawaran kerja yang bergantung kepada kontrak ditawarkan syarikat pengendali pelantar minyak di Marang.
Menurutnya, kehidupannya selepas tidak lagi bekerja dalam industri minyak serta gas membuatkan dia lebih tenang apabila sebagai petani, dia boleh menguruskan masa sendiri selain dapat meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga.
“Sepanjang tempoh bekerja di pelantar sejak 2005, saya sekeluarga menetap di Kuala Lumpur dan saya diberikan cuti dua minggu selepas perlu bekerja selama empat minggu di laut (pelantar). Namun ketiadaan kerja ketika pandemik bermula, menyebabkan saya terpaksa kembali ke kampung halaman.
“Ketika berada di kampung, saya mengusahakan tanaman sayur di atas tanah sendiri bermula dengan keluasan kira-kira 2 hektar, berbekalkan pengalaman sewaktu kecil menolong bapa yang juga seorang petani, selain kursus berkaitan tanaman fertigasi anjuran Jabatan Pertanian.
“Walaupun masih baharu, namun saya melakukannya secara bersungguh dan serius, sebelum saya memperbesarkan lagi penghasilan tanaman apabila turut mengusahakan juga tanah peninggalan orang tua seluas kira-kira tiga hektar yang sudah terbiar lama,” katanya.
Mohamad Azlin berkata, menjadi usahawan tani di bawah program Ladang Kontrak MAFI (Kementerian Pertanian dan Industri Makanan) kendalian Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), selain bantuan serta bimbingan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) banyak membantunya memperluaskan penghasilan kebun.
Pinjaman SADC RM50,000
Katanya, pinjaman usahawan tani Perak SADC RM50,000 disifatkan sangat membantu kerana menawarkan pinjaman tanpa faedah dan ia dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperbesarkan tanaman serta sistem pengairan fertigasi daripada hanya kira-kira 1,000 polibeg, menjadi hampir 10,000 polibeg ketika ini.
“RM50,000 itu keseluruhannya saya gunakan untuk membeli polibeg dan sistem pengairan berkaitannya bagi membesarkan plot-plot tanaman. Bagaimanapun ada juga kebun yang saya usahakan menggunakan kaedah konvensional yang memerlukan penggunaan mini traktor.
“Mini traktor berharga RM20,000 itu saya peroleh melalui bantuan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yang saya gunakan untuk projek tanaman menggunakan kaedah konvensional,” katanya yang aktif dalam Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Gerik.
Beliau turut menitipkan pesanan agar generasi muda menceburi bidang pertanian yang dilihatnya mempunyai peluang dan potensi besar, terutamanya apabila agenda keterjaminan atau sekuriti makanan menjadi antara agenda utama negara ketika ini termasuk di bawah agenda Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
“Walau 1,000 polibeg tanaman fertigasi, ia mampu menghasilkan pendapatan kasar kira-kira RM6,000 sebulan, berbanding dengan sebilangan kerja makan gaji terutamanya pada paras gaji minimum RM1,500 sebulan yang mana perlu meluangkan masa tetap seharian untuk bekerja,” katanya.
Sumber : Berita Harian Online