Rumaizi (dua dari kiri) yakin pembinaan taman tema dinosaur bakal jadi tarikan baharu pengunjung ke Perak bermula tahun depan. – Foto: MBI
IPOH – Taman tema dinosaur dengan kos pembinaan RM7 juta bakal menjadi tarikan baharu pengunjung ke negeri ini mulai tahun depan.
Pembinaan taman ke tujuh di Malaysia itu dibangunkan di Taman Rekreasi Gunung Lang dekat sini menerusi kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dengan Syarikat Pebec Berhad sebagai persediaan Tahun Melawat Perak 2024.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pembinaan taman tema dinosaur itu meliputi dua fasa dengan fasa pertama dimulakan awal tahun depan di atas tanah seluas 2.4 hektar.
“Tempoh pelaksaan fasa pertama mengambil masa selama enam ke lapan bulan untuk menempatkan 30 animatronik haiwan pra sejarah termasuk jenis statik, pusat pembelajaran untuk memberi maklumat berkenaan habitat dan paleontologi serta kedai cenderamata.
“Fasa kedua pula akan dimulakan dalam tempoh setahun dari tarikh pembukaan merangkumi pawagam animasi 3D dan permainan air, namun ini bergantung kepada sambutan pengunjung,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menandatangani memorandum persefahaman bagi cadangan pembinaan taman tema dinosaur bersama Syarikat Pebec Berhad yang diwakili pengerusinya, Norali Nordin di Bangunan MBI pada Jumaat.
Rumaizi berkata, pemilihan Taman Rekreasi Gunung Lang adalah tepat berdasarkan populariti kawasan itu yang tersenarai antara lima taman popular dalam kalangan pengunjung dari dalam dan luar negara.
Katanya, dalam tempoh sebulan, taman rekreasi yang dibangunkan dengan konsep eko-pelancongan dan berada di dalam kawasan Geopark Lembah Kinta itu merekodkan tidak kurang 40,000 kehadiran pelancong.
“Pembinaan ini akan menjadikan taman tema dinosaur yang pertama terletak dalam eko park yang berada di bawah kawasan geopark.
“Kita berharap pembukaan taman tema ini nanti dapat merancakkan lagi industri pelancongan negeri Perak,” katanya.
Buat masa ini, taman tema dinosaur beroperasi di The Top Komtar, Pulau Pinang; Resort World, Genting Highlands; Pusat Sains Negara, Kuala Lumpur; Zoo Teruntum, Kuantan, Zoo Melaka dan Jurassic Land, Sabah.
Sumber : Sinar Harian Online