Sultan Nazrin (empat dari kanan) turut berkenan menyaksikan pertunjukan air melibatkan pelbagai agensi sempena Majlis Perasmian Jambatan Bagan Datuk pada Sabtu.
BAGAN DATUK – Jambatan yang menghubungkan Bagan Datuk dan Sejagop, Pasir Salak kini dinamakan sebagai Jambatan Sultan Nazrin Shah.
Pemasyhuran nama jambatan tersebut disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena Majlis Perasmian Jambatan Bagan Datuk di sini pada Sabtu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembinaan Jambatan Sultan Nazrin Shah memberi limpahan ekonomi dan sosial kepada penduduk di daerah Bagan Datuk dan sekitarnya.
Menurutnya, selain Jambatan Sultan Nazrin Shah, terdapat banyak lagi usaha-usaha yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan di peringkat kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan dari masa ke masa bagi mempertingkat lagi kemudahan infrastruktur di negeri ini untuk manfaat seluruh rakyat jelata.
“Majlis pada hari ini sangat bermakna kepada patik dan sekalian rakyat jelata, kerana dapat menyaksikan satu lagi kemudahan infrastruktur telah terbina dan tersergam indah demi manfaat dan kemudahan rakyat jelata di Negeri Perak khususnya di daerah Bagan Datuk.
“Pastinya, pahit getir penantian rakyat jelata selama lebih enam tahun menantikan kerja-kerja pembinaan Jambatan Bagan Datuk ini membuahkan hasil dan memberi manfaat kepada penduduk setempat apabila telah dibuka secara rasmi mulai 31 Mei 2023 yang lalu,” katanya ketika menyampaikan sembah ucapan sempena majlis tersebut.
Ahmad Zahid dalam sembah ucapannya turut meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) menambah kemudahan lampu jalan di sepanjang laluan jambatan berkenaan.
Berangkat sama pada majlis itu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Idris Shah; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Hadir mengiringi baginda, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Jambatan Sultan Nazrin Shah mula dibuka kepada awam setelah siap sepenuhnya pada 30 Ogos 2023 sepanjang 1.5 merentasi Sungai Perak.
Projek bernilai kira-kira RM460 juta itu turut membabitkan pembinaan jalan sejauh 10.5 km menggunakan kaedah ‘elevated piled slab-EPS’ bagi mengatasi masalah tanah gambut di sebelah Bagan Datuk.
Sebelum wujudnya jambatan tersebut, jarak perjalanan menggunakan Laluan FT069 (Jalan Hutan Melintang-Bagan Datuk) dan FT005 (Jalan Teluk Intan-Lekir) akan mengambil masa lebih satu jam dengan jarak perjalanan melebihi 50 km.
Dengan adanya jambatan berkenaan jarak perjalanan dipendekkan menjadi kurang 15 minit dari Bagan Datuk ke Pasir Salak selain memanfaatkan kira-kira 70,300 penduduk sekitar termasuk pelajar di beberapa institusi pendidikan berdekatan seperti Maktab Rendah Sains MARA Bagan Datuk, Sekolah Menengah Sains Bagan Datuk dan Politeknik Bagan Datuk.
Jambatan ini turut menghubungkan daerah Bagan Datuk dengan daerah lain iaitu Manjung, Perak Tengah dan Hilir Perak.
Pembinaan jambatan itu juga secara tidak langsung dapat memendekkan perjalanan ke pekan-pekan kecil dari kawasan sekitar pekan Bagan Datuk, Selekoh, Sungai Sumun di daerah Bagan Datuk dan kampung berdekatan antaranya Kampung Kayan, pekan Seri Iskandar, Bota, Parit, Changkat Lada di daerah Perak Tengah, Sitiawan, Manjung dan Lumut di daerah Manjung.
Dari aspek teknikal, Jambatan Bagan Datuk ini melibatkan pembinaan satu jambatan merentasi Sungai Perak sepanjang 1.5 km mengikut piawaian JKR R5 dengan kelebaran 14 meter melibatkan dua lorong dua hala.
Jambatan ini mempunyai 26 pier dan 27 span dengan panjang box girder 340 meter mengambil kira ruang utiliti seperti paip air Lembaga Air Perak (LAP) bagi bekalan air ke Bagan Datuk.
Selain itu, Elevated Piled Slab (EPS) turut digunakan sebagai struktur jalan sepanjang 8.27 kilometer bagi mengatasi masalah banjir.
Projek ini turut menerima pengiktirafan dalam The Malaysia Book of Records sebagai Laluan Papak Bertingkat atas Cerucuk yang Terpanjang (Longest Elevated Pile Slab Carriageway) dan Bilangan Titik Cerucuk Terbanyak bagi Laluan Papak Bertingkat atas Cerucuk (Most Pile Points on Elevated Pile Slab Carriageway).
Selain itu, projek ini mencatat rekod skor 95 peratus dalam Audit Silang Pelan Pengurusan Trafik (TMP) Projek Cawangan Jalan tahun 2022, pencapaian Empat Bintang dalam Sistem Penilaian Keselamatan dan Kesihatan dalam Pembinaan (2020) dan 1,000,000 Jam Kerja Tanpa Kecederaan (2020).
Sumber : Sinar Harian Online