Sultan Nazrin dan Tuanku Zara berkenan melawat Bazar Ramadan Arena Square di Kuala Kangsar pada Sabtu.

KUALA KANGSAR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri, Tuanku Zara Salim berkenan melawat Bazar Ramadan Arena Square dekat sini pada Sabtu.

Ketibaan baginda berdua disambut Pegawai Daerah Kuala Kangsar, Muhammad Nazri Abdullah dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), Dr Sakduddin Zamli pada jam 5 petang.

Kehadiran Sultan Nazrin dan Tuanku Zara jelas menceriakan kira-kira 1,000 pengunjung dan peniaga di bazar berkenaan.

Mereka bukan sahaja teruja kerana dapat melihat kelibat tetamu istimewa itu secara dekat, malah tidak melepaskan peluang bergambar dengan baginda berdua.

Dalam kunjungan kira-kira 30 minit itu, baginda berdua turut berkenan membeli juadah berbuka puasa antaranya daging kambing harimau menangis, martabak, donat, karipap dan air balang.

Peniaga kuih, Hazmawie Mohd Tamuzi, 27, akui teruja dan terkedu apabila baginda berdua membeli empat jenis kuih di gerainya.

“Sepanjang berniaga di sini enam tahun, ini kali pertama dapat berjumpa dengan tuanku secara dekat.

“Tuanku beli kuih donat, karipap, kuih habuk-habuk dan keria.

Peniaga martabak, Abu Bakar Mohamad, 30, pula berkata, setiap tahun baginda berdua tidak melepaskan peluang membeli martabak di gerainya sebagai juadah berbuka.

Katanya, Martabak Hj Mohamad dan Keluarga yang dikenali Martabak Pak Mad itu sudah lama popular dalam kalangan penduduk Kuala Kangsar sejak 35 tahun lalu.

“Tadi tuanku minta bungkuskan martabak daging dan ayam.

“Rasa gembira kerana baginda masih sudi singgah di gerai dan membeli martabak kami,” katanya.

Sultan Nazrin dan Tuanku Zara kemudiannya berangkat menghadiri majlis berbuka puasa bersama media, badan bukan kerajaan (NGO), sektor korporat, swasta, syarikat berkaitan kerajaan dan belia di Istana Iskandariah di sini.

Bazar Ramadan Arena Square merupakan bazar terbesar di daerah Kuala Kangsar menempatkan 242 lot gerai yang menawarkan pelbagai kuih-muih, lauk-pauk serta minuman untuk berbuka puasa.

Sumber : Sinar Harian Online