Sultan Nazrin Shah dan Tuanku Zara Salim berkenan berangkat pada Majlis Santapan Diraja sempena Perasmian Persidangan Perwakilan Tahunan Ke-34 Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) 2023 di sebuah hotel malam ini. – BERNAMA

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Majlis Santapan Diraja sempena Perasmian Persidangan Perwakilan Tahunan Ke-34 Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) 2023 di sini, malam ini.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dan Presiden PPKM Tan Sri Wan Mahmood Pawan Teh.

Saarani berkata, berbekalkan pengalaman sebagai penjawat awam dalam pelbagai bidang meliputi antaranya pentadbiran jabatan, perkhidmatan pendidikan dan keselamatan menjadikan golongan pesara sebahagian daripada aset penting dalam merekayasa pembangunan negara.

“Tuntasnya, dunia perkhidmatan awam telah mengajar segala-galanya mengenai kehidupan, pengorbanan dan kejayaan.

“Latihan, pengalaman, pergaulan, hubungan dengan rakan-rakan dan rangkaian jabatan tempat kita bekerja menjadi aset dan pembelajaran yang sangat berharga untuk memberi perkhidmatan terbaik,” katanya ketika menyampaikan sembah ucapan pada majlis itu di sini.

Turut hadir Yang Dipertua PPKM Negeri Perak merangkap Naib Presiden PPKM, Datuk Mohamed Hamzah.

Sementara itu, Wan Mahmood dalam sembah ucapannya berkata, Malaysia akan menjadi warga tua pada 2030 membabitkan 15.3 peratus rakyatnya berusia 60 tahun ke atas.

Beliau berkata, pada 2025 pula, jumlah rakyat Malaysia diramalkan meningkat kepada 34.21 juta dan daripada angka itu, 5.2 juta adalah warga emas.

“Ramalan ini menakutkan, kalau tiada tindakan proaktif akan jadi beban kepada negara… patik seru kerajaan bantu kami dalam usaha menangani fenomena ketuaan dalam negara kita,” katanya.

Pada majlis itu, Sultan Nazrin turut berkenan menyempurnakan Montaj Perasmian Persidangan Perwakilan Tahunan Ke-34 PPKM.

Sumber : Berita Harian Online