Sultan Nazrin (kanan) berkenan mengumumkan Lat sebagai Seniman Diraja. FOTO L Manimaran
Batu Gajah: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan mengumumkan kartunis terulung negara Lat atau nama sebenarnya Datuk Mohd Nor Khalid sebagai Seniman Diraja.
Sultan Nazrin bertitah pengumuman itu bagi mengiktiraf peranan dan sumbangan besar lagi bermakna oleh seniman agung itu memperkenalkan Malaysia di pentas antarabangsa dan mengharumkan nama negara.
Baginda bertitah demikian ketika Majlis Perasmian Galeri Rumah Lat di sini hari ini.
Sultan Nazrin bertitah khazanah yang dipamerkan di Galeri Rumah Lat diharapkan akan menjadi sumber inspirasi kepada rakyat terutama anak muda Malaysia.
Baginda bertitah legasi seniman agung itu harus diperturunkan kepada generasi muda sebagai pewaris seterusnya dan menjadi sumber khazanah yang amat bernilai buat rakyat.
“Semoga Galeri Rumah Lat, kekal sebagai satu simbol pencapaian hebat seorang seniman yang Allah SWT telah mengurniakan bakat tersangat istimewa dan luar biasa,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah melalui lakaran yang santai dan bersahaja, Lat berjaya mengetengahkan pemerhatian yang tajam mengenai kehidupan masyarakat majmuk yang hidup dalam harmoni.
Titah baginda karikatur Lat banyak menceritakan tentang perkara yang benar-benar berlaku dalam kehidupan masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai kaum, menganut pelbagai agama, mengamalkan pelbagai budaya dan menguasai pelbagai bahasa.
Baginda bertitah Lat melihat kepelbagaian tersebut sebagai aset dan khazanah berharga di negara ini dan memilih mengetengahkan elemen persamaan anggota masyarakat yang pelbagai seperti kegembiraan majlis perkahwinan, kemeriahan hari kebesaran, alam sekolah, mengalami kesesakan jalan raya, menikmati makanan di restoran dan pelbagai lagi.
“Karyanya, membawa mesej jelas bahawa rakyat yang pelbagai itu sebenarnya, memiliki naluri asas mahu hidup secara aman dan harmoni dalam semangat saling hormat-menghormati, rakyat yang pelbagai itu pada asasnya tidak berprasangka buruk antara satu sama lain hanya kerana berlainan kaum, fahaman agama, amalan budaya dan penguasaan bahasa.
“Galeri Rumah Lat mempamerkan sejarah hidup, liku-liku perjalanan seorang anak seni, merakamkan pelbagai pencapaian dan pengiktirafan yang dicapai oleh seorang ‘kampung boy’ yang berhijrah menjadi ‘town boy’ dan kini bertaraf seniman ternama di peringkat antarabangsa.
“Tetapi Lat kekal dengan sifat rendah diri seorang anak kampung, laksana padi, semakin berisi semakin tunduk. Semoga Allah SWT mengurniakan Lat sebaik-baik kesihatan dan usia untuk terus berkarya,” titahnya.
Sultan Nazrin bertitah pengamatan Lat tentang kehidupan yang berwarna-warni dijelmakan melalui beberapa karya popular seperti “Kampung Boy” dan “Town Boy” yang merupakan antara contoh penelitian yang terperinci mengenai kehidupan di desa dan di bandar meliputi pelbagai isu.
“Sumbangan dan penglibatan Lat dalam dunia kartun tanah air amat terserlah serta berjaya mengangkat dirinya sebagai tokoh kartunis yang cerdas, bersifat genius, serta memiliki identiti yang unggul.
“Lakaran bersahaja melalui garapan pengalaman telah meletakkan karya-karya Lat di kelas tersendiri, melayakkan beliau dianugerahi dengan pelbagai penghargaan dan pengiktirafan di peringkat antarabangsa, yang turut mengharumkan nama negara,” titahnya.
Baginda turut bertitah karya-karya Lat menggambarkan pandangan dan analisis peribadinya terhadap pelbagai isu, menyentuh kehidupan rakyat jelata antaranya terdiri daripada pemandu bas, polis trafik, pegawai kastam, pegawai imigresen, doktor dan jururawat, hakim dan peguam, tokoh sukan, pemimpin, menyentuh isu-isu lokal, nasional dan antarabangsa.
“Di sebalik karikatur lucu yang dikembari dengan dialog ringkas, terkandung falsafah, mesej-mesej yang serius, sindiran yang tajam, persoalan dan saranan, diolah dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan, tanpa mengundang konflik dan permusuhan,” titah baginda.
Lat menunjukkan minat mendalam terhadap lukisan-lukisan komik dan kartun yang tersiar dalam akhbar-akhbar Utusan Melayu dan Utusan Zaman sejak kecil dan diberikan dorongan oleh keluarganya.
Antara karya awal beliau ialah ‘Tua Keladi’ yang disiarkan dalam Majalah Filem yang diterbitkan di Singapura pada 1966 dan ‘Keluarga Si Mamat’ yang pertama kali disiarkan pada 1968 dalam Berita Minggu (kini BH Ahad) dan siri itu diterbitkan oleh akhbar berkenaan selama 26 tahun.
Sumber : Harian Metro Online