Sultan Nazrin berkenan menyampaikan hadiah kepada johan pertandingan pidato Bahasa Melayu (Sekolah Menengah Atas), Rafaa Muneer pada Program Menyemai Semangat Kesetiaan Kepada Raja dan Negara Sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat Perak 2023, di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan Ipoh, malam ini. NSTP/L Manimaran
IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Program Menyemai Semangat Kesetiaan Kepada Raja dan Negara Sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat Perak 2023, di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini malam ini.
Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Shah.
Keberangkatan tiba baginda pada jam 8.35 malam disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri, Datin Seri Aezer Zubin; Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil serta Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Majlis dengan pengisian pertandingan akhir Pidato Diraja dan menulis esei yang bermula jam 8 malam tadi dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebesaran Negeri Perak, disusuli bacaan al-Quran dari Surah An-Nisa’ ayat ke-59; bacaan doa dan persembahan multimedia.
Program kemudian disusuli sesi pertandingan akhir Pidato Diraja, persembahan johan Bicara Berirama dan Choral Speaking; ulasan pertandingan serta penyampaian hadiah.
Acara Program Menyemai Semangat Kesetiaan Kepada Raja dan Negara dirangka bagi memupuk dan menyemai semangat kesetiaan kepada Raja yang meliputi pertandingan Pidato Diraja, pertandingan menulis esei Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, pertandingan mencipta puisi, pertandingan melukis karikatur serta pertandingan melukis poster.
Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan hadiah juara pertandingan pidato Bahasa Inggeris sekolah menengah atas yang dimenangi Muhammaf Asyraf Rosman dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Buyong Adil, Batang Padang.
Rafaa Ahmad Muneer dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kerian pula mengungguli pertandingan pidato Bahasa Melayu sekolah menengah atas, dengan kedua-dua pemenang menerima hadiah wang tunai berjumlah RM750 serta piala pusingan.
Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan hadiah untuk pertandingan melukis poster (kategori sekolah rendah), pertandingan melukis karikatur (kategori sekolah menengah), pertandingan menulis sajak (kategori sekolah menengah) dan pertandingan choral speaking sekolah menengah.
Selain itu, Sultan Nazrin berkenan menyampaikan hadiah pertandingan bicara berirama sekolah menengah, pertandingan menulis esei Bahasa Melayu kategori sekolah menengah, pertandingan menulis esei Bahasa Inggeris sekolah rendah dan pertandingan pidato Bahasa Inggeris kategori sekolah rendah.
Baginda turut berkenan menyampaikan hadiah untuk pertandingan pidato Bahasa Melayu kategori sekolah rendah dan kategori sekolah menengah.
Sementara itu, Pengerusi jawatankuasa penganjuran, Tan Sri Mohd Annuar Zaini, dalam ucapannya berkata penganjuran bagi tahun ini mendapat sambutan memberangsangkan apabila mendapat kira-kira 564,281 penyertaan berbanding 300,695 penyertaan sewaktu penganjuran kali terakhir sebelum ini iaitu pada 2019 lalu.
“Peserta terdiri daripada pelbagai kaum. Bilangan penyertaan yang tinggi membuktikan semangat, kesungguhan, komitmen dan dedikasi pengarah dan warga Jabatan Pendidikan memecahkan ruyung menterjemahkan idea menjadi realiti,” katanya.
Sumber : Berita Harian Online