Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan berangkat tiba ke Majlis Makan Malam Amal anjuran Kelab Bakti Gunung Kledang di sebuah hotel malam ini. FOTO BERNAMA
Ipoh: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan hadir ke Majlis Makan Malam Amal Bersama Dayang Nurfaizah dan Hael Husaini anjuran Kelab Bakti Gunung Kledang (KBGK).
Ia bagi pengumpulan dana untuk penganjuran dan pelaksanaan aktiviti serta program yang dirancang sepanjang tahun 2024 dan 2025.
Bertemakan Beramal, Berbakti Bersama Dayang Nurfaizah & Hael Husain, ia berlangsung di Dewan Ballroom, Hotel Casuarina @ Meru, di sini itu dengan dihadiri 700 hadirin.
Turut berangkat pada majlis itu Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Idris Shah; Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Idris Shah; dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Shah.
Hadir sama Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah mewakili Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid yang mengiringi ketibaan Sultan Nazrin dan Tuanku Zara kira-kira jam 8.10 malam.
Sebanyak sembilan badan kebajikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) masing-masing menerima sumbangan berjumlah RM10,000 selain RM100,000 kepada Maahad Ad-Deeniah, Meru, yang disampaikan oleh Presiden KBGK, Muhammad Hamzah Hamdan.
Pengerusi Majlis Makan Malam Amal itu, Norali Nordin berkata KBGK dihujani permintaan daripada individu atau badan kebajikan yang memerlukan bantuan bagi pelaksanaan kerja amal.
Sementara itu Muhammad Hamzah berkata, lebih RM500,000 hasil jualan 67 meja berjaya dikumpul dengan sebanyak RM200,000 disumbangkan dalam majlis itu.
Sumber : Harian Metro Online