IPOH – Perak menyasarkan sekurang-kurangnya 35 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak, yang dijadualkan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos depan.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri, Khairudin Abu Hanipah berkata, bagaimanapun perkara itu masih belum dimuktamadkan Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak.
Namun katanya, beliau optimis skuad Perak mampu memperbaiki kedudukan sekurang-kurangnya pada tangga lima terbaik berbanding kedudukan kelapan pada edisi sebelum ini.
Kata beliau, pada temasya sukan dwitahunan kali ini, Perak mempertaruhkan kekuatan kira-kira 900 atlet dengan 516 terdiri daripada atlet lelaki sementara selebihnya atlet perempuan.
Menurut Khairudin lagi, bagi mencapai sasaran itu, MSN Perak telah memulakan persiapan para atlet untuk beraksi pada temasya sukan itu melalui Kem Bakat dan kem sukan-sukan tumpuan sejak tahun lepas.
“Antara sukan yang diberi tumpuan adalah sukan judo, silat, kabaddi, silambam, muay thai, kriket, hoki dan sebagainya.
“Penumpuan ini dilakukan supaya skuad Perak mampu mencipta kejuaraan sebagaimana slogan ‘Silver to Gold’,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan Sukan Negeri Perak dan Pengiraan Detik 100 Hari SUKMA Sarawak, di Galasa Caldwell, dekat sini, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Khairudin memberitahu, keputusan untuk tidak menyertai kesemua 37 acara pada temasya itu adalah bagi memastikan skuad Perak mampu memberi saingan hebat dalam mengutip seberapa banyak pingat.
Pada masa sama, beliau berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang berlangsung pada minggu lalu juga bersetuju untuk melaksanakan inisiatif keluarga angkat skuad SUKMA Perak yang membabitkan kesemua Exco, agensi serta syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC).
Jelas beliau, usaha itu turut melibatkan antaranya Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), Lembaga Air Perak (LAP) serta Lumut Port.
Walau bagaimanapun, Khairudin berkata, perincian berkenaan perkara tersebut akan diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad pada satu majlis penyerahan surat pelantikan pada masa terdekat.
“Inisiatif keluarga angkat ini sebagai mahu membantu kita daripada segi penyelarasan perjalanan dan kesiapsiagaan atlet kita.
“Ia juga sebagai mahu memperlihatkan keseriusan pentadbiran negeri yang mana temasya SUKMA Sarawak ini bukan hanya melibatkan Exco Sukan atau MSN semata-mata. Kita mahu memastikan semua agensi untuk turut membantu (skuad Perak dalam SUKMA nanti).
“Mereka juga ada kemahiran yang perlu ditonjolkan untuk mereka juga memberi sumbangan dan khidmat bakti supaya pasukan kita berada dalam keadaan yang cukup bersedia untuk di Bumi Kenyalang nanti,” ujar beliau.
SUKMA edisi ke-20 yang berlangsung pada September 2022 di Kuala Lumpur menyaksikan skuad Perak berada pada tangga kelapan dengan kutipan 27 emas, 28 perak dan 46 gangsa.
Pada temasya yang berlangsung 16 hingga 24 September itu, Johor muncul sebagai juara apabila mengungguli carta kedudukan pingat dengan kutipan 77 emas, 52 perak dan 43 gangsa.
Sumber : Malaysia Gazette Online