Warga kerja MB Inc. Perak memanfaatkan aktiviti go-kart di Bulatan Sultan Azlan Shah, Bandar Meru Raya, Ipoh.  

IPOH – Bandar raya Ipoh bukan lagi dianggap sebagai ‘bandar orang pencen’ oleh sesetengah pihak suatu ketika dahulu disebabkan kurangnya aktiviti riadah yang boleh menarik penyertaan ramai masyarakat khususnya golongan muda.

Sebaliknya, bandar raya Ipoh yang tersenarai dalam 18 of Asia’s most underrated places dalam portal CNN Travel pada Januari lalu telah menerima suntikan baharu yang pastinya akan menjadi lokasi pilihan para pelancong jika ke negeri Perak.

Bulatan Sultan Azlan Shah yang terletak di Bandar Meru Raya, di sini didapati telah menjadi tumpuan orang ramai setiap minggu terutamanya pada waktu malam apabila pelbagai aktiviti riadah diadakan di kawasan itu khususnya buat para peminat sukan permotoran go-kart yang dikendalikan oleh syarikat Ipoh Amusement Park.

Antara yang sudah merasai pengalaman di pusat tumpuan itu ialah para kakitangan Perbadanan Menteri Besar (MB Inc.) Perak apabila ahli-ahli Kelab Rekreasi Warga Kerja MB Inc. Perak (CRESTERS) beramai-ramai menjalankan aktiviti go-kart di sini, baru-baru ini.

Pengurus Besar Komunikasi Korporat Strategik MB Inc. Perak, Siti Kamesah Bee berkata, aktiviti tersebut memberikan manfaat kepada warga kerja badan berkanun negeri itu dari segi konsep keseimbangan kehidupan bekerja.

“Aktiviti ini secara tidak langsung memberi manfaat kepada fizikal dan mental warga kerja kami. Ini juga selari dengan sasaran Sejahtera Sosial di bawah agenda Perak Sejahtera 2030 yang memfokuskan kepada pembangunan keluarga dan belia,”katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Siti Kamesah, selain merapatkan hubungan silaturahim, aktiviti go-kart juga mampu membentuk semangat kerjasama berpasukan selain menjadikan seseorang individu itu lebih fokus dalam mencapai kejayaan.

Malah, MB Inc. Perak juga katanya turut memberikan sokongan terhadap usaha menggalakkan aktiviti sukan go-kart di bandar raya Ipoh yang digerakkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk).

Sementara itu, Pengurus Ipoh Amusement Park, Mohd Rani Ariffin ketika ditemui memberitahu, walaupun baharu sahaja beroperasi, sambutan yang diterima amat menggalakkan.

“Sambutan amat baik sehinggakan pernah mencecah 300 orang sehari yang mahu mencuba pengalaman sukan bermotor go-kart. Kenderaan go-kart disediakan di sini berkuasa elektrik dan mesra alam.” katanya yang menyahut saranan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad supaya menitikberatkan penjagaan alam sekitar dan teknologi hijau.

Tambah Mohd Rani, pihaknya juga amat menitikberatkan soal keselamatan para pengguna go-kart dengan mewajibkan mereka memakai topi keledar serta sarung tangan yang disediakan.

Sumber : Sinar Harian Online