Soalan Lazim

Apakah itu Pelan Perak Sejahtera 2030 ?

Kerajaan Negeri Perak di bawah kepimpinan YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak telah merangka Perak Sejahtera 2030 sebagai garis panduan bagi pembentukan dasar, inisiatif dan agenda utama negeri bagi tahun 2022-2030. Pelan ini dihasilkan selari dengan Rancangan Struktur Negeri Perak dan pelan pembangunan negeri Perak yang lain yang sedang berkuatkuasa di samping mengambil kira isu dan cabaran yang sedang dan bakal dihadapi oleh negeri Perak.

Apakah matlamat yang ingin dicapai melalui Perak Sejahtera 2030?

Matlamat Perak Sejahtera 2030 adalah untuk memakmurkan negeri dan mesejahterakan rakyat.

Adakah Pelan Perak Sejahtera 2030 menggantikan pelan-pelan pembangunan sedia ada?

Tidak.

 

Pelan Perak Sejahtera 2030 tidak menggantikan pelan-pelan pembangunan sedia ada, sebaliknya pelan ini membantu negeri Perak untuk terus berkembang, membangun dan maju seiring dengan perancangan pelan-pelan pembangunan yang berkaitan di peringkat nasional dan negeri. Dengan erti kata lain, pelan ini menyokong dan saling-melangkapi pelan-pelan pembangunan sedia ada untuk memacu pembangunan Perak sehingga tahun 2030.

Apakah cabaran perdana yang mendepani negeri Perak?
Melalui sesi libat urus dan analisis yang dijalankan, beberapa cabaran perdana telah dikenal pasti dan diperhalusi. Berikut merupakan empat (4) cabaran perdana yang perlu diberi penekanan bagi mencapai kehidupan berkualiti daripada segi sosioekonomi, sosiopolitik dan politikonomi.

   
BIL CABARAN UTAMA RINGKASAN
1. Migrasi Dalam tempoh sedekad yang lalu, aliran migrasi bersih adalah negatif. Lebih banyak migrasi keluar berbanding migrasi masuk dan trend ini agak membimbangkan terutamanya kesan kepada keperluan modal insan negeri.
2. Kumpulan Isi Rumah Berpendapatan 40 Peratus Terendah (B40) Perak adalah negeri yang mempunyai peratusan tertinggi isi rumah B40 dalam kalangan negeri-negeri di Malaysia. Kerajaan negeri perlu memastikan golongan ini tidak terpinggir dalam arus pembangunan dan terus menikmati kelangsungan hidup bagi menghadapi peningkatan kos sara hidup
3. Masyarakat Menua Pada tahun 2010, 7.7 peratus komposisi penduduk di negeri Perak adalah berumur 65 tahun dan ke atas dan dianggarkan meningkat kepada 11 peratus daripada 2.51 juta orang penduduk pada tahun 2020, lebih tinggi daripada Malaysia, iaitu 6.73 peratus. Negeri Perak perlu bersedia menghadapi trend populasi tua yang semakin meningkat.
4. Ketersediaan Menghadapi Era Pendigitalan Kajian Ketersediaan Data Raya dalam kalangan agensi-agensi negeri Perak telah dijalankan oleh Institut Darul Ridzuan. Hasil daripada kajian mendapati bahawa hanya 47 peratus pegawai memiliki kemahiran berkaitan Analitis Data Raya (Big Data Analytics). Walau bagaimanapun, hanya 27 peratus organisasi bersedia dengan peruntukan sekali gus memberikan gambaran bahawa kesedaran organisasi di negeri Perak terhadap ketersediaan berkaitan data raya masih rendah.
 
Bagaimanakah Pelan Perak Sejahtera mengumpulkan maklumat dan input dalam penyediaannya?

Pengumpulan maklumat dan input dilakukan melalui beberapa sesi libat urus yang dijalankan dengan pelbagai pihak berkepentingan seperti agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan, pihak berkuasa tempatan, badan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta, belia, wanita, orang kurang upaya (OKU) dan pemimpin tempatan. Kesemua dapatan daripada sesi libat urus ini dianalisa dan dirumuskan.

Apakah kekuatan dan potensi yang ada pada negeri Perak?
Potensi yang dimiliki oleh negeri Perak perlu dijadikan kekuatan untuk melonjakkan usaha merangkum kesemua aspirasi kerajaan di bawah satu matlamat dalam menyejahterakan negeri Perak. Lima (5) potensi telah dikenal pasti:
  1. Lokasi Strategik: Perak terletak di antara negeri maju Selangor dan Pulau Pinang. Negeri Perak ini turut bersempadan dengan tiga (3) buah negeri yang kaya dengan sumber alam, iaitu Kedah, Kelantan dan Pahang. Daripada sudut antarabangsa pula, negeri ini berjiran dengan dua (2) buah negara utama ASEAN, iaitu Thailand dan Indonesia.

  2. Kemewahan Sumber: Negeri Perak merupakan antara negeri yang kaya dengan kepelbagaian hidupan semula jadi dan sumber mineral yang tidak ternilai. Negeri ini dilimpahi dengan kurniaan hutan hujan tropika yang tertua di dunia, iaitu Hutan Hujan Tropika Belum-Temenggor (BTTR) yang terletak di Hulu Perak.

  3. Pembangunan Kemahiran: Di negeri Perak, terdapat 100 buah institusi yang merangkumi 62 buah institusi TVET dan 38 buah Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di 12 buah daerah yang menawarkan pelbagai program akademik dan kemahiran. Kewujudan banyak pusat institusi ini berupaya memperkasakan pembangunan kemahiran rakyat Perak daripada segenap lapisan umur.

  4. Ekonomi Pengalaman: Negeri Perak menawarkan ekonomi pengalaman yang berteraskan empat sektor utama iaitu: pendidikan, pelancongan, perkhidmatan dan kesejahteraan. Keempat sektor ini berupaya memberi nilai tambah kepada aktiviti ekonomi negeri dan dapat meningkatkan imej serta penjenamaan Perak.

  5. Belia Pemangkin Kesejahteraan: Populasi penduduk belia negeri Perak pada tahun 2021 dianggarkan seramai 745,500 orang yang dipecahkan kepada 373,400 orang lelaki dan 372,100 orang perempuan. Potensi belia perlu digarap dengan memperkasakan program sedia ada agar belia berdaya tahan dalam menghadapi cabaran masa hadapan yang lebih rencam dan tidak menentu.
Apakah terdapat nilai-nilai bersama yang ingin diterapkan dalam kalangan rakyat negeri Perak dalam bersama-sama menjayakan Perak Sejahtera 2030?
Prinsip Perak Sejahtera 2030 didukung oleh lima (5) nilai bersama untuk dihayati dan diamalkan seperti   berikut:
  • KEBERSAMAAN dapat memastikan kesepakatan sentiasa dipupuk dan dipelihara di samping meraikan setiap perbezaan.
  • PRIHATIN dengan keadaan sekeliling dan menghulur bantuan dengan mengutamakan mereka yang lebih memerlukan.
  • JUJUR dalam setiap sikap dan tingkah laku tanpa melakukan sebarang kecurangan.
  • BIJAKSANA dalam menggalas tugas dan amanah yang diberikan berpandukan ilmu pengetahuan dan kemahiran.
  • TEGAS dalam erti kata melaksanakan undang-undang dan penguatkuasaan.
Apakah rasional diwujudkan Pelan Perak Sejahtera 2030?

Perak Sejahtera 2030 merupakan sebuah pelan pembangunan negeri komprehensif yang dirangka untuk pembangunan jangka panjang negeri Perak. Pelan yang dibangunkan oleh Kerajaan Negeri ini merupakan penunjuk arah untuk jentera kerajaan bagi pembangunan negeri Perak menuju 2030. Pelan ini merupakan kesinambungan kepada pelan-pelan pembangunan yang terdahulu dan menggarapkan pelan pembangunan jangka masa sederhana dan panjang di peringkat negeri, persekutuan dan antarabangsa.

Apakah agenda utama yang ingin dibawa dalam Perak Sejahtera 2030?
Seiring dengan potensi yang dimiliki, Kerajaan Negeri akan mempelopori sektor-sektor yang memberi nilai tambah kepada negeri, menambah peluang pekerjaan, merapatkan jurang pendapatan dan pendidikan dan merentas usaha ke arah meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat. Terdapat tujuh (7) agenda utama Perak Sejahtera 2030 adalah seperti berikut:
  1. Sekuriti Makanan: Sekuriti makanan (food security) merupakan isu keselamatan negara yang perlu diambil perhatian. Negeri Perak berpotensi dalam mempelopori sektor sekuriti makanan bagi mengurangkan kebergantungan kepada makanan import. Negeri ini mempunyai kelebihan dan potensi untuk menggembleng sumber sedia ada bagi membangunkan industri pertanian ke arah sekuriti makanan.

  2. Ekonomi Digital: Revolusi: Negeri Perak sedang dalam usaha memperkasakan pendigitalan menerusi pelbagai bidang terutamanya sektor urus niaga dan perkhidmatan awam yang didorong oleh sektor awam dan swasta. Rakyat Perak perlu dinormakan dengan pengadaptasian dan inovasi teknologi serta perkhidmatan digital berkaitan dengan fungsi sosioekonomi bagi meningkatkan ekonomi, produktiviti dan kualiti hidup.

  3. Pembuatan Keputusan Dipacu Data: Data merupakan aset penting bagi kerajaan untuk memastikan keputusan lebih bersasar dan tepat. Berdasarkan data, kerajaan dapat meningkatkan mutu perkhidmatan dan keberkesanan dalam perbelanjaan awam dan dapat membuat keputusan yang lebih tepat merentasi keseluruhan sektor awam.

  4. Perlombongan Lestari (Perlombongan Bertanggungjawab dan Mampan): Industri mineral memberikan sumbangan yang sangat signifikan kepada pembangunan ekonomi negeri dan menyediakan sebahagian besar bahan asas kepada industri yang merangkumi sektor pembinaan, pembuatan, perkilangan, pengangkutan, infrastruktur, tenaga dan pertanian. Penggunaan teknologi moden dan amalan terbaik dalam aktiviti perlombongan dapat mengimbangi antara penjanaan pendapatan dan risiko seterusnya memastikan alam sekitar terus dipelihara.

  5. Koridor TVET Malaysia : Kewujudan banyak institusi latihan kemahiran merupakan kekuatan negeri Perak dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi. Kewujudan institusi ini mampu membawa masuk ramai remaja ke negeri Perak dan seterusnya mengimbangi migrasi remaja ke luar negeri Perak. Bagi mengekalkan kehadiran remaja di negeri Perak, peluang pekerjaan berkaitan dengan kemahiran yang diperoleh perlu diwujudkan dengan segera.

  6. Tadbir Urus Projek Berkepentingan Negeri: Tadbir urus projek berkepentingan negeri harus diperkasakan bagi memberi keyakinan kepada bakal pelabur dan pelabur sedia ada untuk terus memilih negeri Perak sebagai destinasi pelaburan pilihan. Bagi mencapai agenda ini, perancangan keseluruhan, pengawalan dan koordinasi sesuatu projek berkepentingan kerajaan perlu memenuhi tahap piawaian yang ditetapkan.
 
Apakah perkara-perkara yang disasarkan dalam Perak Sejahtera 2030?
Pelan ini berhasrat memenuhi tiga (3) sasaran kesejahteraan, iaitu kesejahteraan sosial, ekonomi dan politik rakyat Perak iaitu:
  1. Sejahtera Sosial: Perak Sejahtera 2030 melihat kesejahteraan sosial sebagai usaha untuk mengubah dan menjamin kesejahteraan individu, masyarakat dan rakyat dalam meningkatkan kualiti kehidupan daripada aspek jasmani, akal, rohani dan emosi agar dapat memberi kepuasan kepada kehidupan rakyat.

  2. Sejahtera Ekonomi: Sasaran ini melibatkan pengurusan sumber pengeluaran, iaitu sumber manusia, sumber buatan dan sumber alam secara cekap, berkesan, cepat, tepat dan lestari bagi pengeluaran barangan dan perkhidmatan. Sejahteraan ekonomi bermaksud rakyat mempunyai keselamatan dan kekayaan harta yang merangkumi kemampuan rakyat secara konsisten memenuhi keperluan asas dan kehendak.

  3. Sejahtera Politik: Perak Sejahtera 2030 mensasarkan untuk mewujudkan tadbir urus kerajaan yang cekap, berkesan, cepat dan tepat untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat Perak. Hal ini digambarkan oleh tadbir urus negeri dalam penyampaian dan pemantauan seperti perolehan hasil dan perbelanjaan awam, perpaduan dan penglibatan awam, perlindungan hak-hak awam, penyediaan pemimpin dan kepemimpinan masa hadapan dan memastikan kecelikan politik masyarakat awam.
 
Apakah terdapat projek-projek flagship atau berimpak tinggi yang telah dikenalpasti dalam menjayakan agenda pembangunan Perak Sejahtera 2030?
Program flagship diperkenalkan sebagai pemangkin untuk mencapai agenda Perak Sejahtera 2030. Program flagship yang digariskan ini boleh memberi nilai tambah kepada pembangunan sosioekonomi negeri dan menjadi hala tuju kepada projek keutamaan yang akan difokuskan menuju 2030. Terdapat (18) Program flagship yang berperanan sebagai pemegang taruh negeri diketengahkan sebagai peneraju sektor-sektor berkepentingan dalam memacu keberhasilan pelan selaras dengan rancangan Rancangan Struktur Negeri (RSN):
  1. Lembah Bakul Makanan Malaysia (Sekuriti Makanan)
  2. Perumahan Sejahtera
  3. Perlombongan Mampan
  4. Koridor TVET Malaysia
  5. Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat
  6. Membasmi Miskin Tegar 2025
  7. Program Menyantuni Golongan Rentan
  8. Agenda Perak Sihat Sejahtera
  9. Program Mesra Pelabur
  10. Ekonomi Pengalaman
  11. Ekonomi Digital Negeri Perak
  12. Sumber Air dan Sumber Tenaga Boleh Baharu
  13. Hab Maritim dan Pelabuhan Nusantara
  14. Pusat Kecemerlangan Balai Cerap Negara
  15. Ipoh Bandar Ekonomi Donat 2027
  16. SMART Perak
  17. Komuniti Perak Sejahtera
  18. PEDULI Orang Asli
Apakah kekuatan atau potensi yang telah dikenalpasti di peringkat daerah?
Penjenamaan daerah-daerah di negeri Perak mengikut keistimewaan dan potensi penting dalam memacu pertumbuhan dan membangunkan daerah yang seterusnya menjadi hala tuju dalam melonjakkan pertumbuhan. Potensi yang dimiliki oleh daerah-daerah menjadi penanda aras kepada perancangan pembangunan di peringkat pentadbiran daerah. Berikut merupakan niche daerah yang telah dikenal pasti:
  1. Hulu Perak – Mengaruskan perdanakan ekonomi berteraskan biodiversiti
  2. Larut, Matang & Selama – Industri Kecil & Sederhana (IKS) Perindustrian Pintar
  3. Kerian – Transformasi jelapang padi pintar
  4. Kuala Kangsar – Pelancongan Diraja Global
  5. Kinta – Pelancongan peradaban dan kesejahteraan nusantara
  6. Kampar – Ekopelancongan
  7. Manjung – Hab maritim dan pelabuhan Selat Melaka
  8. Perak Tengah – Koridor TVET Malaysia
  9. Batang Padang – ASEAN Agrotech Distribution Centre
  10. Hilir Perak – Lembah Agromakanan
  11. Muallim – Hab inovasi teknologi inovatif
  12. Bagan Datuk – Persada kelapa dunia
Apakah terdapat mekanisme untuk memantau pelaksanaan Perak Sejahtera 2030?

Bagi memastikan Perak Sejahtera 2030 ini berjaya dilaksanakan, Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Kerja Perak Sejahtera 2030 akan ditubuhkan untuk menyelaras pelaksanaan pelan ini. Jawatankuasa ini akan diketuai oleh YAB Menteri Besar Perak bersama-sama dengan YB Setiausaha Kerajaan Negeri dan dianggotai oleh Kerajaan Negeri, Agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

 

            Tempoh pelaksanaan Pembangunan Perak Sejahtera 2030 ialah selama lapan (8) tahun bermula dari tahun 2022 hingga tahun 2030. Bagi memastikan agensi/pelaksana memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing, pemantauan akan dijalankan setiap tahun dan kajian semula akan dilakukan pada setiap dua (2) tahun bagi menyelaras hala tuju projek yang digariskan bersesuaian dengan cabaran dan keperluan semasa dengan mengambil kira senario baru perubahan persekitaran dan tumpuan strategik negeri Perak.

 

            Selain daripada itu, Indeks Kesejahtera Perak turut dibangunkan untuk mengukur tahap pencapaian. Bagi setiap sasaran kesejahteraan telah dikenal pasti beberapa tema keberhasilan yang akan dilaporkan pencapaiannya pada setiap tahun.

Bilakah Pelan Perak Sejahtera 2030 dilancarkan?
Pelan ini dilancarkan pada 15 Jun 2022 oleh YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak di Hotel Kinta River Front, Ipoh.
Siapakan pihak yang dipertanggungjawabkan menyediakan Pelan Perak Sejahtera 2030?
Insitut Darul Ridzuan (IDR) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri Perak (UPEN) merupakan pihak yang dipertanggungjawabkam oleh kerajaan negeri bagi menyediakan pelan ini.
Pihak manakah yang berperanan untuk menjayakan aspirasi Perak Sejahtera 2030?

Seluruh rakyat negeri Perak daripada segenap lapisan masyarakat mempunyai peranan mengikut kapasiti masing-masing untuk bersama-sama menjayakan aspirasi Perak Sejahtera 2030.

Apakah itu prinsip Perak Sejahtera 2030?
Kelestarian pelaksanaan Perak Sejahtera 2030 ialah bersandarkan kepada lima (5) prinsip asas iaitu:
  1. Keseimbangan Pembangunan Fizikal dan Sosioekonomi: Membolehkan limpahan kekayaan yang dijana dinikmati oleh semua lapisan masyarakat agar jurang pendapatan dan kekayaan antara golongan berpendapatan tinggi dan rendah juga turut ditangani

  2. Kerjasama Pintar: Kerajaan menjalinkan kerjasama pintar dengan syarikat swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan institusi pendidikan bagi memenuhi keperluan rakyat, khususnya dalam pengetahuan, kemahiran dan sumber kewangan bagi menjayakan inisiatif dan projek pembangunan yang dirancang.

  3. Kelestarian Penggunaan Sumber dan Alam Semula Jadi: Pembangunan yang dilaksanakan perlu seiring dengan kepentingan memelihara alam sekitar dan keperluan kehidupan manusia masa hadapan.

  4. Sistem Penyampaian Perkhidmatan yang Cekap dan Ambil Peduli: Penyampaian perkhidmatan yang cekap dan ambil peduli adalah sangat kritikal bagi memastikan pelaksanaan pembangunan dapat digerakkan dengan cekap, berkesan, cepat dan tepat yang seterusnya membolehkan rakyat menikmati perkhidmatan yang terbaik.

  5. Kepakaran Berkualiti dan Bernilai Tinggi: Usaha perlu digerakkan untuk mengekalkan tenaga kerja pakar sedia ada dan melahirkan lebih ramai tenaga pakar baharu dan menarik tenaga pakar dari luar negeri Perak.
Adakah negeri Perak sudah bersedia menghadapi era pendigitalan?

Bagi mengenal pasti tahap ketersediaan data raya di Perak, Kajian Ketersediaan Data Raya dalam kalangan agensi-agensi negeri Perak telah dijalankan oleh Institut Darul Ridzuan. Hasil daripada kajian mendapati bahawa hanya 47 peratus pegawai memiliki kemahiran berkaitan Analitis Data Raya (Big Data Analytics). Manakala 54 peratus pegawai menyatakan organisasi mereka memiliki ketersediaan data, perisian dan perkakasan. Kajian turut mendapati 56 peratus organisasi telah bersedia dengan strategi pelaksanaan data raya. Walau bagaimanapun, hanya 27 peratus organisasi bersedia dengan peruntukan sekali gus memberikan gambaran bahawa kesedaran organisasi di negeri Perak terhadap ketersediaan berkaitan data raya masih rendah.

Apakah isu yang perlu ditangani berkaitan pembangunan modal insan negeri Perak?
Berdasarkan Rancangan Malaysia Ke-11, Pelan Pembangunan Perak Amanjaya 2020 (PAJ) dan inisiatif pelan lain, Kerajaan Negeri perlu terus menjayakan agenda penyediaan dan pembangunan modal insan bagi memenuhi keperluan untuk pertumbuhan sosioekonomi dan pembangunan industri pada masa hadapan. Beberapa isu yang perlu ditangani termasuk meningkatkan kecekapan pasaran buruh, memperkasa program Technical and Vocational Education and Training (TVET) dan mengukuhkan pembelajaran sepanjang hayat. Ia penting bagi memenuhi permintaan industri, menarik pelaburan dan meningkatkan kemahiran modal insan.Pembangunan bakat dan kemahiran merupakan satu daripada empat (4) dasar pemangkin.

Dalam usaha ke arah menjadi sebuah negeri maju, Kerajaan Negeri perlu memupuk pembangunan modal insan dan tenaga kerja untuk disesuaikan dengan keperluan ekonomi termasuk ekonomi digital. Di bawah program tersebut, kerajaan perlu mengenal pasti jenis kursus akademik dan TVET yang ditawarkan bagi memenuhi permintaan tenaga kerja dalam industri.
Apakah yang dimaksudkan dengan Model Ekonomi Donat yang dicadangkan di dalam Pelan Perak Sejahtera 2030?

Model ekonomi donat menitikberatkan keseimbangan ekonomi, sosial, politik dan alam sekitar sejajar dengan matlamat Perak Sejahtera 2030. Ekonomi donat digunakan sebagai penanda aras supaya tidak melangkaui sempadan alam raya, iaitu pengasidan laut, perubahan iklim, penipisan lapisan ozon, pencemaran udara, kekurangan kepelbagaian hidupan, penukaran kegunaan tanah, pengeluaran air tawar, penuaan nitrogen dan fosforus dan pencemaran kimia. Ia juga tidak mengurangi keperluan manusiawi, iaitu Kesihatan dan Keselamatan Awam, Perumahan, Asas Kemasyarakatan, Pendidikan, Alam Sekitar dan Amalan Teknologi Hijau, Prasarana, Seni Budaya dan Warisan, Belia, Wanita, Keluarga, Warga tua, Orang Kurang Upaya (OKU), Penduduk, Industri Utama, Keusahawanan, Sumber Manusia dan Persekitaran Kerja, Pelaburan Domestik dan Luar Negara, Agihan Kekayaan, Kumpulan Pendapatan dan Kemiskinan, Tadbir Urus Kerajaan, Perpaduan Nasional dan Kepimpinan.