Bekas ketua jurulatih Perak FC, Datuk Lim Teong Kim melayan soalan wartawan mengenai perkembangan rundingannya bersama pengurusan kelab itu di Ipoh hari ini. – Foto NSTP/L Manimaran
IPOH: Sesi perbincangan kedua hari ini antara bekas ketua jurulatih Perak FC, Datuk Lim Teong Kim dan wakil kelab bola sepak itu mengenai pemecatan dan penamatan kontrak beliau yang didakwa tidak sah, masih menemui jalan buntu.
Teong Kim berkata, perkara itu hanya akan dirujuk ke Mahkamah Perusahaan selepas sesi perbincangan ketiga di Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (IRD), Greentown di sini yang ditetapkan sebelum 26 Ogos ini.
Menurutnya, tarikh 26 Ogos ditetapkan berdasarkan tempoh masa 60 hari untuk membuat representasi pembuangan pekerja di IRD bagi tujuan rundingan damai antara pekerja dan majikan, namun jika tiada sebarang penyelesaian dicapai, representasi itu akan dirujuk ke Mahkamah Perusahaan.
“Perbincangan kami hari ini bagi perdamaian masih tidak mencapai satu persetujuan dan kita akan cuba sekali lagi sebelum 26 Ogos ini.
“Ya, betul mahkamah adalah jalan terakhir dan kita tidaklah mahu sampai ke sana. Kami masih berharap mereka (Perak FC) akan membuat satu perdamaian,” katanya kepada pemberita selepas selesai sesi perbincangan di Pejabat IRD, Greentown.
Bekas jurulatih yang pernah mengendalikan kelab remaja Bayern Munich itu hadir ke sesi perbincangan hari ini bersama peguamnya, Adam Yap Boon Han.
Difahamkan Perak FC diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Interim, Bobie Farid Shamsudin.
Terdahulu, media melaporkan Teong Kim mengemukakan representasi aduan pada 27 Jun lalu kepada IRD mengenai pemecatan atau penamatan kontrak beliau serta-merta daripada mengendalikan pasukan itu yang didakwanya dibuat secara tidak sah.
Teong Kim sebelum ini dilapor menuntut pengurusan Perak FC melunaskan baki bayaran gaji 16 bulan bermula dari tarikh pemecatannya pada 24 Mei lalu hingga tempoh tarikh sepatutnya kontrak dua tahun mengendalikan pasukan itu tamat.
Representasi dibuat mengikut Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967 atas alasan penamatan kontrak Teong Kim yang dibuat secara serta-merta adalah penamatan secara pramatang memandangkan kontrak bersama Perak FC itu seharusnya untuk tempoh dua tahun namun hanya berakhir selama lapan bulan.
Sementara itu, Bobie ketika ditemui selepas sesi perjumpaan kedua itu berkata, beliau enggan mengulas terperinci mengenai hasil perbincangan namun berpendapat Teong Kim berhak untuk mengambil tindakan termasuk merujuk perkara itu ke Mahkamah Perusahaan.
“Beliau ada hak untuk buat macam itu (rujuk mahkamah) dan kita hormati. Ya, pihak pengurusan Perak FC pun sudah bersedia untuk pergi (mahkamah) dan akan ikut proses.
“Kami berpegang dengan pendapat kami dan beliau boleh buat apa-apa yang beliau fikir betul. Jadi kita perlu bergerak ke hadapan,” katanya dengan menambah pertikaian mengenai isu itu tidak mengganggu perkembangan Perak FC yang disifatkannya semakin bagus.
Sumber : Berita Harian Online