Pelancong yang bernasib baik dapat melihat spesies burung enggang amat terancam, Helmeted Hornbill (gambar kecil) ketika meneroka Royal Belum untuk menikmati pemandangan alam semula jadi.
GERIK – Taman Negeri Royal Belum di daerah Hulu Perak ibarat syurga buat 10 spesies burung enggang termasuk salah satu yang dikategorikan sebagai amat terancam.
Pegawai Penyelidik memangku tugas Pengarah Perbadanan Taman Negeri Perak, Lau Ching Fong berkata, antara spesies enggang yang ada di situ termasuk kelingking, buluh, badak, papan, berkedut, kekek, bulu dan gunung.
Katanya, spesies amat terancam dikenali sebagai Helmeted Hornbil atau enggang tebang mentua kerana jarang ditemui tetapi sering didengari dengan bunyi seakan orang ketawa.
“Plain-pouched Hornbill (enggang hutan) pula merupakan spesies bermusim sekitar Jun sehingga September dan terbang dalam kumpulan besar hingga berpuluh ekor.
“Kita pernah merekodkan burung itu terbang dalam kumpulan mencecah 2,000 ekor sehari dan ia sememangnya pemandangan yang menakjubkan,” katanya.
Menurut Ching Fong, faktor itu menjadikan Royal Belum sebagai salah satu destinasi pelancongan popular di Perak bagi pencinta alam sekitar.
Tambahnya, Royal Belum yang berkeluasan 1,282.7 kilometer persegi merekodkan jumlah pengunjung sebanyak 30,000 orang setiap tahun.
“Antara aktiviti yang boleh dilakukan termasuk menikmati keindahan hutan hujan tropika seperti Air Terjun Kooi dan Ruok, tumbuh-tumbuhan dan pelbagai jenis haiwan,” katanya.
Ujar Ching Fong, selain itu Royal Belum mempunyai sira iaitu kawasan haiwan seperti rusa, tapir, gajah dan seladang mencari makan kerana ia kaya dengan mineral.
“Perkhidmatan rumah bot memberi peluang orang ramai meneroka lokasi berkenaan selain boleh melakukan aktiviti memancing toman, sebarau dan lain-lain,” katanya.
Menurut Ching Fong, hutan itu juga menjadi penempatan 1,100 Orang Asli suku kaum Jahai. Terdapat santuari ikan akekchep di Sungai Tiang untuk melihat ikan tengas dan kelah di situ.
“Royal Belum hanya boleh dikunjungi dengan menggunakan bot. Mereka yang berminat untuk berkunjung ke Royal Belum perlu mendapatkan bantuan pemandu pelancong yang berdaftar,” katanya.
Tambahnya, keunikan alam semula jadi yang terdapat di Taman Negeri Royal Belum adalah sejajar dengan program flagship Perak Sejahtera 2030 iaitu Ekonomi Pengalaman yang mana ia berteraskan kepada empat sektor utama iaitu pendidikan, pelancongan, perkhidmatan dan kesejahteraan.
Sumber : Kosmo Online