Mohd. Roshailan (empat dari kiri) bersama Muhammad Rasydan (empat dari kanan) bersama kakitangan Opah Merry Cafe di Ipoh baru-baru ini.
IPOH – Reputasi bandar raya Ipoh sebagai sebuah lokasi pelancongan gastronomi yang semakin meningkat naik memberi impak positif terhadap pemain dalam industri makanan dan minuman.
Opah Merry Cafe yang berlokasi di Jalan Dato Lau Pak Khuan, Taman Ipoh di sini dan mula beroperasi pada Februari lalu turut menerima manfaat daripada reputasi tersebut kerana ia kini menjadi antara lokasi tumpuan penggemar kafe konsep dari seluruh negara.
Pemiliknya, Mohd. Roshailan Mat Rasid, 37, berkata, demografi pelanggan mereka kini terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuklah dari luar negeri seperti Kuala Lumpur dan Selangor, bahkan pelancong antarabangsa turut mengunjungi kafe tersebut.
“Penggunaan media sosial banyak membantu dalam mempromosikan kafe kami kepada orang ramai. Medium seperti TikTok dan Instagram menjadi rujukan orang ramai sebelum mereka mengunjungi Opah Merry Cafe.
“Bukan itu sahaja, trend masa kini iaitu menjadikan kafe konsep sebagai lokasi meluangkan masa bersama rakan-rakan mahupun ahli keluarga turut menyumbang kepada kehadiran pelanggan di Opah Merry Cafe,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Mengulas lanjut, Mohd. Roshailan berkata, kafe yang diusahakan bersama rakan kongsinya, Muhammad Rasydan Zakaria, 35, itu menawarkan menu yang sinonim dengan masyarakat tempatan.
Katanya, ia secara tidak langsung menawarkan pengalaman menikmati hidangan lokal kepada golongan pelancong dari luar negeri yang mungkin ingin mencuba juadah tempatan.
“Sebagai contoh, lempeng pisang kami menggunakan resipi yang sinonim dengan penduduk di kawasan Ipoh, yang mana ia mungkin berbeza dengan kawasan-kawasan lain. Satu lagi menu popular di Malaysia ialah nasi ayam kicap, namun di sini kaedah penyediaannya adalah berpandukan cara orang di Taiping menyediakannya.
“Antara menu popular kami di sini termasuklah asam laksa, cucur kuah kacang, bahkan menu Barat seperti spageti carbonara juga diminati pelanggan tidak kira tempatan mahupun dari luar negara,” katanya.
Menurutnya, mereka percaya kafe tersebut mampu untuk menghadapi limpahan pelancong yang bakal tiba di Ipoh tidak lama lagi sempena Tahun Melawat Perak 2024 terutamanya pada hujung minggu iaitu Sabtu dan Ahad.
“Daripada segi pelancongan gastronomi, saya percaya pemain industri di bandar raya ini mempunyai peranan masing-masing dalam membantu kerajaan negeri Perak, termasuklah Opah Merry Cafe.
“Kami kini mempunyai lebih 25 menu berbanding sekitar 15 yang ditawarkan ketika mula beroperasi beberapa bulan lalu. Bukan itu sahaja, konsep rumah lama di sini turut membangkitkan perasaan nostalgia zaman dahulu kala.
“Jadi, para pelanggan boleh mengambil gambar kenangan bersama ahli keluarga serta rakan-rakan di pekarangan mahupun ruang dalaman kafe ini,” katanya yang turut memberitahu, premis tersebut dibuka seawal 10 pagi hingga 8 malam.
Sumber : Kosmo Online