Farah Nadirah dan suami, Muhammad Aizat (kanan) bersama tiga lagi individu anak Perak yang akan
IPOHL Polisi akses pendidikan percuma di Jerman yang wujud daripada kepercayaan pemimpin bahawa pendidikan adalah hak sejagat bukan saja mewujudkan peluang kepada rakyat negara itu tetapi juga rakyat negara luar.
Manfaat ini dapat dicapai, menerusi jalinan kerjasama perkongsian ilmu serta teknologi baharu antara negara, khususnya bidang pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET).
Ini kerana Jerman sebuah negara yang terkenal dengan kualiti dalam bidang TVET, selain ia bertepatan dengan hasrat kerajaan negara ini untuk memperkasakan pendidikan TVET.
Pasangan suami isteri, Muhammad Aizat Zulkiffly, 30, dan Farah Nadirah Sharudin, 30, telah merebut peluang ini dan menjadi antara lima individu anak Perak yang akan dihantar mengikuti Program Latihan Dual Vokasional di Jerman (GDVT) atau ‘Ausbildung’ selama tiga tahun bermula Oktober ini.
Program berbentuk dua kaedah pembelajaran iaitu secara latihan vokasional dan teori itu akan menempatkan pesertanya di syarikat sektor swasta di Jerman bagi menjalani latihan praktikal yang seakan konsep ‘internship’.
Selain disediakan elaun mengikut kadar mata wang negara itu, peserta akan mengikuti pembelajaran secara teori yang dilaksanakan di institusi vokasional awam berdekatan dengan penempatan kerja di sana.
Farah Nadirah berkata, dia dan suami sememangnya berhasrat melanjutkan pengajian di luar negara tetapi tidak kesampaian disebabkan beberapa kekangan, khususnya kewangan.
Farah Nadirah yang merupakan pemegang ijazah sarjana muda bidang sumber manusia, berkata bidang pengurusan perhotelan amat diminatinya. Namun dia terpaksa meninggalkan bidang itu beberapa tahun lalu atas beberapa faktor, seterusnya beralih dalam bidang perbankan.
“Apabila ada peluang sebegini saya cakap dengan suami supaya mencuba nasib dan Alhamdulillah, kami berdua terpilih selepas menghadiri temuduga pada November lalu.
“Suami dipilih mengikuti program itu dengan penumpuan kepada jurusan TVET berkaitan teknikal. Saya pula dipilih selepas melalui perbincangan tertentu dan pengendali program bersetuju saya mengikuti bidang pengurusan perhotelan.
“Walaupun kami berdua sudah mencecah usia 30-an, selain sudah berumahtangga dan ada anak, kami percaya peluang yang ada di depan mata sewajarnya kami rebut,” katanya kepada BH.
Ibu dua anak yang berusia enam tahun dan sembilan bulan itu berkata, apa yang pasti pembabitan dalam program ini sekali gus memberinya peluang mempelajari budaya dan sistem pendidikan di Jerman selain berpeluang meneruskan kerjaya di sana selepas program tamat.
Farah Nadirah berkata, ketika ini dia dan suami sedang mengikuti kursus Bahasa Jerman bagi tahap A1 hingga B2 di Cyberjaya, Selangor sebagai persediaan sebelum ke Jerman Oktober nanti.
German Dual Vocational Training’ (GDVT) dilaksanakan menerusi kerjasama antara Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) sebagai Sekretariat Jawatankuasa TVET Negeri Perak; bersama FELCRA Education Services Sdn Bhd dan Study Germany Sdn. Bhd.
Menerusi pelan pembangunan negeri Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Koridor TVET Malaysia diletakkan sebagai antara intipati (flagship) bahkan satu dari enam agenda utama yang mahu dicapai dengan PASAK diletakkan sebagai antara agensi penerajunya.
Sumber : Berita Harian Online