Lebuh Raya WCE bakal merangsang ekonomi Perak apabila satu lagi projek berwawasan tinggi.

Ipoh: Memiliki jalan raya penghubung adalah perkara asas untuk melancarkan sesuatu pelan pembangunan negeri sebagaimana dibuktikan menerusi pembinan Lebuh Raya Utara-Selatan, Lebuh Raya Pantai Timur dan Pan Borneo.

Prasarana ini adalah penting bukan sahaja bagi rakyat bergerak, tetapi juga barangan, sama ada berbentuk import atau eksport. Ini juga wawasan Kerajaan Negeri Perak yang memastikan Lebuh Raya Persisiran Pantai Barat (WCE) dirancang teliti bagi menghubungkan titik-titik terpenting di negeri itu khususnya pelabuhan dan wilayah baharu ekonomi yang hendak dibangunkan.

Namun, melihat daripada pandangan lebih luas, pembinaan dan penyiapan Lebuh Raya WCE bakal merangsang ekonomi Perak apabila satu lagi projek berwawasan tinggi, Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) siap kelak.

Bandar ini akan menerima pelaburan bernilai RM72 bilion menerusi kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dengan Port of Antwerp-Bruges Antarabangsa (PoABI), anak syarikat Port of Antwerp-Bruges, gerbang perindustrian dan logistik terkemuka Eropah.

Pelaburan bagi LuMIC dijangka mengambil masa 25 tahun dan impak daripada pembangunan ini bakal mewujudkan lebih daripada 50,000 peluang pekerjaan baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata, rancangan pembangunan Perak yang meliputi pembangunan LuMIC di Manjung membuka lebih banyak peluang untuk pelajar universiti di mana sejumlah 110 pelajar sepenuh masa sarjana dan pasca siswazah diberi peluang menyertai program latihan berbayar secara eksklusif selama 18 bulan.

“Usaha sama PKNPk dengan pengendali pelabuhan terkemuka, Port of Antwerp-Bruges International untuk membangunkan LuMIC meberi manfaat dari pelbagai aspek dan antara kesan positif yang dapat kita lihat adalah pelatih yang terpilih akan mendapat keistimewaan menjalani Latihan di syarikat ini yang beribu pejabat di Ipoh, Perak.

“Pengalaman transformatif ini menjanjikan untuk membentuk kerjaya mereka dan masa depan pendidikan di Perak. Peluang ini adalah umpama jemputan untuk memulakan perjalanan yang akan memberi impak berkekalan kepada dunia secara keseluruhan serta kehidupan pelatih yang terpilih,” katanya baru-baru ini.

PKNPk turut menjalinkan kerjasama dengan beberapa universiti di Perak untuk mengkaji aspek semasa dan prospektif penciptaan pekerjaan secara menyeluruh.

LuMIC merupakan agenda pembangunan bagi Kluster Perindustrian Maritim Bersepadu di Manjung yang memfokuskan sektor industri, maritim dan logistik merangkumi penglibatan langsung lalu perdagangan antarabangsa.

“Pada peringkat ini, adalah terlalu awal untuk menilai tahap keterujaan dalam kalangan pekerja mahupun penduduk setempat berhubung pembangunan pelabuhan, memandangkan inisiatif yang dicadangkan masih perlu dilaksanakan secara beransur-ansur,” kata beliau lagi.

LuMIC bersedia menjadi enjin pertumbuhan bagi Perak dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara didorong dengan penyertaan sektor swasta melalui pelaburan langsung asing dan domestik, insentif zon ekonomi khas dan kerjasama industri-akademik yang kukuh.

Salah satu inisiatif yang terkandung di dalam Pelan Perak Sejahtera 2030 adalah Flagship 13: Hab Maritim dan Pelabuhan Nusantara di mana PKNPk diberi peranan sebagai peneraju utama untuk mengenal pasti dan melaksanakan aktiviti rantaian nilai berkaitan maritim yang bakal merancakkan ekonomi setempat seterusnya melonjakkan negeri Perak sebagai negeri pelabuhan pintar.

Inisiatif pembangunan LuMIC ini berupaya menjadi pemangkin untuk memacu negeri Perak ke arah ekonomi bernilai tinggi menjelang 2047.

Sumber : Harian Metro Online