Saarani (dua kiri) melawat tapak pameran sempena Sambutan Hari Tanah Negara Peringkat Negeri Perak 2023 di Hotel Casuarina@Meru, Ipoh, hari ini. – Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA/ KOSMO!

IPOH – Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak tidak lagi mengeluarkan dan menghantar bil cukai tanah kepada pemilik tanah berdaftar mulai tahun hadapan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad sebaliknya berkata, semakan dan bayaran cukai tanah boleh dilakukan melalui portal rasmi PTG Perak atau mendaftar sebagai pengguna malalui Portal Awam e-Tanah.

Katanya, menerusi portal berkenaan, semua sejarah urusan berkaitan tanah yang dimiliki akan disimpan dan boleh menjadi rujukan pada masa hadapan.

“Selaras dengan tema Sambutan Hari Tanah Negara pada hari ini, kita perlu mendalami istilah modenisasi apabila proses kerja berubah daripada manual kepada sistem.

“Penambahbaikan yang berterusan adalah perlu bagi memastikan capaian sistem e-Tanah yang digunakan dalam pentadbiran tanah negeri Perak mencapai tahap optimum,” katanya pada sidang akhbar sempena Sambutan Hari Tanah Negara 2023 peringkat negeri di sini hari ini.

Menurut beliau, pelaksanaan kaedah terbaharu itu dilaksanakan di kesemua 12 buah PTG daerah di negeri ini.

Katanya, perubahan daripada jadual ke-14 kepada jadual ke-16 Kanun Tanah Negara itu, membuktikan Perak telah melangkah ke hadapan dalam memastikan pengurusan dan pentadbiran tanah dilaksanakan secara atas talian.

“Untuk permulaan, selain hebahan dilakukan melalui pelbagai media, kita juga minta pengerusi-pengerusi masjid menyampaikan maklumat tersebut kepada jemaah pada hari Jumaat.

“Bagi mereka yang tidak mempunyai capaian internet mahupun orang lama yang tidak biasa dengan cara baharu ini, kita juga telah minta ketua kampung dan setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk bantu, begitu juga dengan pejabat wakil rakyat yang mempunyai capaian internet,” katanya.

Sumber : Kosmo Online