Sidang Media oleh Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan (tengah). FOTO L. MANIMARAN

Ipoh: Polis Perak mengesahkan menerima 20 laporan berhubung video tular sebahagian kecil titah diraja Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang disunting hingga dilihat mengaitkan dan mengheret kedudukan baginda bagi tujuan politik kepartian.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, laporan diterima sejak semalam, iaitu selepas laporan pertama mengenainya dibuat di Balai Polis Travers, Brickfields, Kuala Lumpur.

Menurutnya, susulan laporan pertama yang dibuat di Brickfields, siasatan mengenainya diserahkan kepada Bukit Aman.

“Setakat tengah hari ini, Polis Perak menerima sebanyak 20 laporan berkaitan video berkenaan sejak semalam,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini.

Menerusi video itu, seseorang dipercayai wanita yang juga pemimpin Muslimat PAS Melaka cuba mengetengahkan pandangan Sultan Nazrin terhadap parti itu dalam klip video itu.

Terdahulu media melaporkan Pejabat Sultan Perak membuat laporan polis berhubung video itu.

Dewan Negara Perak menerusi kenyataan Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin, berkata pihak yang memetik dan menularkan semula titah Sultan Nazrin pada 2013 itu bertujuan mahu mempengaruhi pengundi menyokong PAS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Video berkenaan memilih dalam memuat naik sebahagian kecil titah Sultan Nazrin yang dizahirkan pada 19 Februari 2013 ketika memangku sebagai Raja Perak Darul Ridzuan menzahirkan titah di Majlis Wacana Perpaduan Ummah anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bertemakan ‘Perpaduan Ummah; Harapan, Realiti dan Cabaran’.

Sumber : Harian Metro Online