Mohd Yusri

IPOH – Polis Perak telah menerima 20 laporan berhubung olahan video titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang tular digunakan bagi tujuan politik.

Laporan polis berkenaan antara lain tidak berpuas hati dan menggesa tindakan diambil terhadap individu yang memanipulasi titah Sultan Perak untuk kepentingan parti.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, semua laporan berkenaan dibuat sejak Ahad di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) seluruh negeri.

“Setakat pagi ini, kita telah terima 20 laporan polis terhadap wanita berkenaan berhubung isu itu.

“Siasatan telah diambil polis Bukit Aman,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Isnin.

Klip video yang tular itu merakamkan seorang wanita dipercayai pemimpin Muslimat Pas Melaka memetik satu bahagian kecil titah baginda pada 2013 yang menyentuh parti Pas.

Wanita tersebut mengambil petikan video yang sebelum ini pernah dimuat naik di Facebook Dewan Muslimat Pas Melaka pada 11 November 2022.

Petikan video itu merupakan potongan rakaman titah Sultan Nazrin sempena Wacana Perpaduan Ummah, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Kuala Lumpur pada 19 Februari 2013.

Sultan Nazrin ketika itu ialah Pemangku Raja Perak dan bertitah mengenai isu perpaduan ummah melibatkan UMNO serta Pas sebagai dua kuasa politik Melayu dominan di negara ini.

Sumber : Sinar Harian Online