Tak Kiau ketika ditemui di ladang durian miliknya. – Foto Poo Tak Kiau
GERIK: Bantuan dan bimbingan Jabatan Pertanian dilihat mampu merealisasikan hasrat mewujudkan kilang pemprosesan durian jenis premium di Pengkalan Hulu, di sini.
Kewujudan kilang itu berupaya mengawal harga dan lambakan ‘raja buah’ berkenaan memandangkan ia dapat dijual sepanjang tahun berbanding mengikut musim.
Datuk Poo Tak Kiau, 69, yang mengusahakan projek ladang durian seluas lebih 200 hektar di Kampung Tasek, Pengkalan Hulu, berkata bagi hasrat itu bantuan agensi dan jabatan kerajaan baik di peringkat negeri mahupun pusat sangat diperlukan, khususnya berkaitan subsidi jentera serta hal pengecualian cukai.
“Subsidi untuk mesin jentera bertujuan supaya penanaman menggunakan kaedah dan sistem moden terutama bagi pembersihan kawasan, membuat ‘terrain’ (teres lereng), selain sistem pam (pengairan), dan pembajaan yang mana kebanyakannya diperoleh secara import dari negara luar,” katanya kepada BH.
Tak Kiau adalah pengusaha tanaman durian berdaftar dengan Jabatan Pertanian, setakat ini bantuan berjumlah RM40,000 sudah disalurkan kepada syarikatnya, Bena Terra Sdn Bhd serta Bena Terra Plantation Sdn Bhd.
Projek ladang durian yang diusahakannya sejak 2018 dan sudah diiktiraf melalui Skim Pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP), sudah mencatatkan hasil pengeluaran tahunan pertama pada tahun lalu iaitu sebanyak satu tan manakala bagi tahun terkini, enam tan metrik.
Dibantu 74 pekerja, jenis klon durian yang ditanam adalah D197 sebanyak 12,410 pokok; D24 (850 pokok); D200 (340 pokok); dan lain-lain klon (3,400 pokok); dengan hasil perolehan tahunan bagi tahun terkini, meningkat enam kali ganda berbanding hasil perolehan untuk tahun pertama projek iaitu sepanjang tahun lalu (2022).
Hasrat mewujudkan kilang pemprosesan durian jenis premium di Pengkalan Hulu pernah diutarakan oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim yang dilaporkan berkata, setakat Julai 2022, terdapat lebih 2,023 hektar tanaman durian jenis Musang King dan Duri Hitam yang sudah berbuah di Pengkalan Hulu dan jumlah berkenaan bakal bertambah kepada 4046.8 hektar dalam tempoh dua tahun.
Aznel ketika itu dilapor mencadangkan agar ada sebuah kilang untuk memproses raja buah berkenaan termasuk untuk membolehkan ia disejuk beku secara sebiji buah berbanding ulas agar boleh disimpan selama enam bulan untuk kegunaan ketika bukan musimnya.
Beliau turut mencadangkan, agar kilang durian berkenaan dibina di atas tanah seluas 404.6 hektar milik Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) di Mukim Belukar Semang, Pengkalan Hulu yang pada masa itu dalam proses diusahakan untuk tanaman durian Musang King.
Aznel berkata, durian Pengkalan Hulu bukan sahaja digemari pelancong tempatan malah turut menjadi buruan pelancong negara jiran seperti Thailand, selain dari China.
Jabatan Pertanian dan Perak SADC kedua-duanya diletakkan sebagai agensi peneraju menerusi ‘flagship’ Lembah Bakul Makanan Malaysia (Sekuriti Makanan), termasuk di bawah segmen Hab Agropelancongan dalam pelan pembangunan Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Mei tahun lalu, media melaporkan Jabatan Pertanian menganggarkan pengeluaran durian di negara ini dijangka meningkat kepada 493,397 tan menjelang 2025 ekoran penggunaan teknologi tinggi atau teknologi pertanian pintar seperti sistem Internet Benda atau IoT dalam proses pengairan dan pembajaan.
Pengusaha tanaman durian sememangnya digalakkan untuk mendaftar dengan Jabatan Pertanian bagi membolehkan data berkaitan seperti jumlah dan keluasan tanaman diperoleh dengan tepat, selain memudahkan bantuan seperti baja disalurkan kepada penanam. Berbanding ketika ini, angka berkaitan tanaman dibuat secara anggaran sahaja.
Sumber : Berita Harian Online