SITI Humaini merangka prograsm Plein Air Challenge Rumah TABAK. – Gambar NSTP/Muhamad Lokman Khairi

Parit: Rumah limas bumbung Perak sarat menyimpan memori, sejarah serta falsafah orang Melayu terdahulu tidak wajar dipinggirkan generasi kini apatah lagi dilupakan ditelan arus zaman.

Atas kesedaran itu, Siti Humaini Said Ahmad, 40, menggunakan pendekatan tersendiri menarik masyarakat dari serata pelosok negara ke sebuah limas bumbung Perak dikenali sebagai ‘Rumah Tabak’ di tebing Sungai Perak dekat Bota Kiri, di sini.

Pensyarah di Jabatan Seni Halus, Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar itu berkata, dia merangka program berbentuk pertandingan iaitu Plein Air Challenge Rumah Tabak awal tahun ini.

“Saya berbesar hati cadangan penganjuran pertandingan itu mendapat perhatian kerajaan negeri Perak sehingga terpilih sebagai penerima Dana Kreatif Perak@PORT berjumlah RM3,000 pada 13 Februari lalu.

“Saya tubuhkan satu jawatankuasa terdiri dari pensyarah di Jabatan Seni Halus UiTM Seri Iskandar bagi memastikan program berjalan dengan lancar.

“Saya memilih rumah tradisional Perak kerana ingin memberi pendedahan kepada masyarakat berkaitan keunikan seni bina rumah tradisional Perak yang mempunyai sejarah dan nilai tersendiri.

“Melalui pertandingan ini masyarakat dapat mengenali seterusnya menghargai seni bina tradisional rumah Melayu melalui medium seni visual iaitu cat air,” katanya.

Untuk rekod, Rumah Tabak dibina Tok Abu Bakar Alang Ketak bersama beberapa tukang lain pada 1920-an.

Kini, rumah bersejarah berkenaan diselia Pengarah Centre for Knowledge and Understanding of Tropical Architecture and Interior (Kutai), Profesor Madya Dr Mohd Sabriza Abd Rashid.

Rumah ini dipulihara untuk dijadikan monumen supaya pengkaji, peminat dan orang ramai boleh menjadikannya sumber rujukan sejarah seni bina rumah tradisional Melayu.

Rumah limas bumbung Perak secara amnya ada beberapa ruang dengan setiap satunya mempunyai nilai falsafah dan peranan yang berkait dengan cara hidup masyarakat Melayu.

Misalnya, ruang serambi luar bersambung dengan anjung. Ia menjadi tempat tuan rumah melayani tetamu selain menjadi lokasi mengaji al-Quran dan sambutan acara.

Ia bersambung dengan bahagian dinamakan ‘Rumah Ibu’ sebagai ruang tetamu wanita.

Sebarang pembinaan tambahan rumah dilakukan membabitkan perluasan di sebelah belakang dan bukannya ke sisi, ini berikutan sifat ‘merendah diri’ dalam budaya orang Melayu yang bersederhana, malu dan tidak suka menunjukkan-nunjuk.

Serambi juga dibina menghadap Sungai Perak yang menjadi jalan pengangkutan utama masyarakat Melayu menggunakan sampan dan kapal.

Bercerita lanjut, Siti Humaini berkata, konsep melukis Plein Air adalah frasa Perancis yang bermaksud melukis in the open air yang memberi cabaran kepada peserta mendapatkan komposisi lukisan terbaik dengan pencahayaan dan bayang subjek yang berubah mengikut cuaca ditambah masa yang terhad.

Beliau berkata, selepas beberapa bulan proses persediaan termasuk promosi, persediaan tapak dan jemputan, akhirnya program dilaksanakan 3 Mei lalu.

“Seramai 34 peserta pelbagai lapisan umur, ada pelajar universiti, pesara, pelukis dan peminat seni. Malah ada peserta dari Kedah dan Selangor.

“Seorang lagi rakan pensyarah saya, Hilal Mazlan yang juga penerima Dana Kreatif Perak@PORT menganjurkan bual bicara mengenai lipur lara cerita rakyat Perak Tengah di lokasi dan masa yang sama.

“Bagi saya, dana ini adalah satu bentuk kepercayaan kerajaan negeri kepada golongan pendidikan seperti saya menyumbang kepada kerancakan sektor seni tempatan,” katanya.

Sumber : Harian Metro Online