LOH Sze Yee (berdiri tiga, kanan) melawat reruai pameran selepas merasmikan Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) Perak. Turut hadir, Pengerusi Penganjur MATTA Perak Wendy Shin (berdiri, kiri). FOTO Bernama
Ipoh: Kerajaan Negeri Perak mengadakan perbincangan dengan Thai Travel Agents Association (TTAA) mengenai laluan penerbangan dari Ipoh ke Bangkok, Thailand yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee berkata, ini kerana terdapat syarikat penerbangan di Thailand sedang giat mengadakan promosi pelbagai pakej pelancongan bagi menarik pelancong dari negara Gajah Putih itu datang ke Perak.
“Penggiat industri pelancongan di negeri ini juga diminta untuk mempelajari beberapa dialek bahasa Thailand serta adat resam dan budaya masyarakat tersebut sebagai persediaan menerima kemasukan pelancong dari Thailand. Ini memudahkan penggiat pelancongan dapat berhubung dengan pelancong Thailand dengan lebih efektif.
“Selain daripada pelancong tradisi seperti dari negara China, kita mahu menarik seramai yang boleh pelancong dari Thailand tambahan pula Perak bersempadan dengan Thailand,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) Perak kali ke-31 di Pusat Konvensyen Ipoh di sini hari ini.
Terdahulu, Loh dalam ucapannya berkata, pihaknya memfokuskan untuk membangunkan lebih banyak lagi produk tarikan pelancongan dengan memberi lebih perhatian kepada inisiatif dan lebih agresif mempromosikan produk pelancongan di negeri ini.
“Kita akan memberi lebih perhatian dengan menonjolkan lagi keunikan iaitu dari segi alam semula jadi, makanan, warisan dan budaya masyarakat setempat.
“Saya berharap agar pengusaha pelancongan akan terus berusaha dengan lebih gigih memperkukuh penjenamaan dan promosi pemasaran yang unik dan sinonim dengan Perak supaya meninggalkan impak lebih baik dan merangsang pelancong untuk terus melancong ke negeri Perak secara berulang,” katanya.
Sumber : Harian Metro Online