Saarani (dua dari kiri) melihat model pelan susunan cadangan Taman Industri Halal Perak@Lekir hari ini. NSTP/MUHAMAD LOKMAN KHAIRI.
MANJUNG: Perak dalam fasa meningkatkan peluang pekerjaan berpendapatan lumayan untuk mengurangkan jurang pendapatan isi rumah dengan lima negeri ‘lokomotif’ ekonomi.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata negeri pimpinannya menyediakan tapak industri seperti Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) Proton City, Tanjung Malim; Silver Valley Technology Park (SVTP), Chemor dan terkini Taman Industri Halal Perak@Lekir.
Beliau berkata, sebelum ini, pelabur lebih cenderung melabur di Pulau Pinang dan Selangor atas faktor Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Pulau Pinang yang sedia ada lengkap bagi urusan import eksport.
Bagaimanapun, katanya, kini masanya Perak muncul sebagai negeri maju melalui pembangunan dan pemerkasaan Pelabuhan Lumut memandangkan kedua-dua pelabuhan di dua negeri itu sudah sesak.
“Dulu kita tersepit antara Pulau Pinang dan Selangor kerana mereka ada pelabuhan yang sudah dikenali.
“Namun, kini kedua-dua pelabuhan berkenaan sudah sesak menyebabkan pelabur yang mahu perluaskan industri mereka di sana, tetapi tanahnya sudah terhad.
“Tetapi kini, mereka (pelabur) akan datang ke sini kerana kita janji bangunkan Pelabuhan Lumut bagi memenuhi keperluan pelabur. Kita yakin dapat bersaing dengan negeri lain,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Taman Industri Halal Perak@Lekir di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian & Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Loh Sze Yee serta Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC), Yahanis Yahya.
Saarani berkata, Perak sedang menyediakan tapak industri dilengkapi jaringan pengangkutan kargo bagi menarik lebih ramai pelabur ke Perak, seterusnya meningkatkan peluang pekerjaan berpendapatan lumayan kepada rakyat.
“Semasa kita menjalankan kajian sebelum kita bangunkan pelan Perak Sejahtera 2030 dulu, kita sedar keperluan kerajaan sekarang adalah menyediakan peluang pekerjaan yang mencukupi dan berpendapatan lumayan kepada rakyat Perak.
“Kita juga dapati ramai bakat muda mencari rezeki luar dari Perak kerana di luar ada tawaran industri. Sebab itu, Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) Proton City, Tanjung Malim; Silver Valley Technology Park (SVTP), Chemor dan terkini Taman Industri Halal Perak@Lekir.
“Semua ini adalah tapak industri yang bakal menarik pelabur luar datang ke Perak membuka industri mereka, seterusnya memberi peluang pekerjaan baharu kepada rakyat Perak,” katanya.
Mengulas projek baharu itu, Saarani berkata, Taman Industri Halal Perak@Lekir adalah nadi ekonomi daging halal bagi pasaran antarabangsa yang bakal melalui tiga fasa dengan fasa pertama membabitkan kos RM100 juta pembinaan infrastruktur.
Beliau berkata, ia dilengkapi pusat penyembelihan dan pemprosesan daging, pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) daging halal, pusat pemprosesan ayam serta kilang pemprosesan makanan haiwan yang bakal menawarkan kira-kira 300 peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar serta kontraktor kelas C1 Bumiputera.
Sumber : Berita Harian Online