Sultan Nazrin menyempurnakan majlis perasmian Perak Agrofest Lestari Agro Perak Makmur di Ladang Infoternak Sungai Siput Utara. NSTP/L MANIMARAN
SUNGAI SIPUT:Penganjuran Perak Agrofest 2023 adalah kesinambungan usaha yang dilaksanakan Kerajaan Perak dalam memperkasa aspek sekuriti atau keterjaminan makanan yang menjadi satu daripada enam agenda utama dalam pelan pembangunan negeri iaitu Perak Sejahtera 2030.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata Perak Agrofest adalah penjenamaan semula kepada program Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan negeri, yang juga satu platform strategik diwujudkan kepada peladang, penternak dan nelayan untuk mendapatkan maklumat serta pendedahan terkini dalam bidang pertanian, perikanan, penternakan dan industri asas tani.
Beliau berkata, aspek keterjaminan makanan sentiasa diberi perhatian sewajarnya oleh kerajaan negeri berpandukan pedoman beberapa siri titah disampaikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebelum ini.
“Kerajaan negeri melipat gandakan usaha dan ikhtiar supaya segala inisiatif bagi memperkukuhkan sekuriti makanan seperti digagaskan dalam pelan Perak Sejahtera 2030 dapat direalisasikan khususnya melalui kolaborasi agensi dan jabatan berkaitan sektor pertanian untuk menjana pengeluaran hasil makanan berskala besar,” katanya berucap pada majlis perasmian Perak Agrofest 2023 di sini, hari ini.
Majlis itu dirasmikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Perak Agrofest 2023 iaitu festival mempromosi produk berasaskan pertanian, inovasi dan teknologi terkini pertanian di Ladang Infoternak Sungai Siput, diadakan selama tiga hari hingga esok.
Program bertemakan ‘Lestari Agro, Perak Makmur’ itu dianjurkan secara dwitahunan dan diadakan secara berselang seli dengan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) yang antara lain turut memberi peluang kepada usahawan khususnya di negeri ini mempromosi serta memperkenalkan produk hasilan ke pasaran lebih tinggi.
Perak Agrofest terbahagi kepada beberapa laman yang menumpu setiap sektor seperti Laman Pertanian, Laman Perikanan, Laman Ternakan, Laman Teknologi dan Inovasi serta jualan produk industri makanan asas tani (IMAT), selain Empayar Makanan.
Pelbagai pengisian diatur sepanjang program berlangsung seperti demonstrasi oleh setiap laman, ceramah agama, aktiviti untuk kanak-kanak, pameran haiwan ternakan seperti ‘Lembu Sado’, Kambing Aglo Nubian, pertandingan memancing, persembahan artis jemputan dan cabutan bertuah.
Saarani berkata, Nisbah Sara Diri (SSR) negeri Perak bagi sektor pertanian bagi 13 jenis tanaman terpilih adalah mencukupi dan memenuhi permintaan domestik dengan nilai SSR melebihi 100 peratus iaitu membabitkan kelapa, jagung manis, belimbing, betik, jambu batu, pisang, bayam, bendi, kacang panjang, sawi, terung, timun dan ubi keledek.
Beliau berkata, Perak juga adalah peneraju sektor perikanan di Malaysia dengan jumlah pengeluaran tertinggi untuk aktiviti akuakultur dan perikanan tangkapan sehingga mencatatkan Tahap Kadar Sara Diri (SSL) 98.31 peratus pada 2022.
Katanya, bagi sektor komoditi ternakan bagi 2022, komoditi unggas sudah melebihi nilai SSR 100 peratus iaitu membabitkan komoditi ternakan daging ayam/itik dan telur ayam/itik.
“Selain itu, susu segar lembu adalah pada kadar SSL 94.4 peratus, manakala kerjasama strategik agensi negeri dengan pemegang taruh terus dipergiatkan untuk meningkatkan kadar SSR bagi pengeluaran daging lembu /kerbau dan daging kambing/bebiri,” katanya
Sumber : Berita Harian Online