Redza Rafiq menafikan dakwaan kononnya kerajaan Perak menganiaya mereka yang melakukan aktiviti pertanian secara haram di atas tanah milik PKNPk.
IPOH – Kerajaan negeri Perak telah memperuntukkan RM700,000 bagi mewujudkan kawasan baharu sebagai lokasi alternatif untuk aktiviti pertanian kepada sekumpulan petani setinggan yang menduduki tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk).
Ketua Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata, inisiatif itu sekali gus menafikan dakwaan kononnya kerajaan negeri Perak menganiaya sekumpulan petani setinggan yang melakukan aktiviti pertanian secara haram di atas tanah milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu.
Menurutnya, bagaimanapun tawaran supaya mereka berpindah ke kawasan baharu itu ditolak oleh kumpulan berkenaan setelah beberapa rundingan diadakan bersama pihak PKNPk.
“Dakwaan bahawa berlaku penganiayaan dan pengusiran secara paksa adalah tidak benar memandangkan kerajaan negeri melalui PKNPk telah mengadakan siri rundingan dan libat urus bagi menyelesaikan isu berkenaan yang sudah berlarutan selama lebih 11 tahun.
“Kerajaan negeri Perak amat menitikberatkan peri pentingnya amalan dan prosedur perancangan serta penggunaan tanah yang betul dan kekal komited untuk menegakkan kedaulatan undang-undang dan memastikan penggunaan sumber tanah yang adil dan saksama,” katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Khamis.
Redza Rafiq berkata, kerajaan negeri sentiasa komited memastikan ketersediaan sumber makanan mencukupi, malah Perak merupakan negeri pertama yang melancarkan Pelan Tindakan Sekuriti Makanan sebagai usaha bagi mengurangkan kebergantungan kepada makanan import.
Menurutnya, aspek keterjaminan makanan menjadi salah satu daripada enam agenda utama pelan pembangunan Perak Sejahtera 2030 yang menggariskan pelbagai inisiatif memperkasa industri asas tani termasuk penubuhan Akademi Sekuriti Makanan dan pembinaan hab daging halal.
Dalam pada itu, pihaknya turut menerima memorandum daripada penduduk setempat termasuk di Taman Chepor Sentosa yang mengadu sering berdepan bencana dan kemusnahan harta benda akibat banjir kilat susulan aktiviti pertanian tidak terkawal diusahakan petani tersebut di kawasan berhampiran.
Sebuah portal melaporkan sekumpulan petani di Perak diiringi beberapa pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan wakil badan bukan kerajaan (NGO) Lawan Lapar mengadakan protes di luar bangunan Parlimen pada Selasa untuk meminta kerajaan campur tangan dalam rancangan kerajaan negeri untuk menukar kebuh-kebun mereka menjadi kawasan perindustrian dan perumahan.
Mereka yang mendakwa mewakili 250 petani di Perak berkata, kawasan seluas 640 hektar itu telah diusahakan untuk hasil tanaman sejak lebih 80 tahun lalu.
Sumber : Sinar Harian Online