Sze Yee (tengah) melawat reruai agensi pelancongan yang menyertai MATTA Fair Perak 2023 di Ipoh.

IPOH – Kerajaan Perak giat menarik kemasukan pelancong dari Thailand sempena Tahun Melawat Perak 2024.

Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee berkata, pemain industri pelancongan negara jiran itu berusaha mempromosikan negeri ini susulan daripada lawatan yang dijalankan bersama 30 wakil agensi pelancongan dan wakil syarikat penerbangan, bulan lalu.

“Thailand menjadi salah satu pasaran baharu kita. Berdasarkan lawatan baru-baru ini, mereka amat berpuas hati dan sekarang giat mengadakan pakej-pakej pelancong dari Thailand masuk ke Perak.

“Kita minta penggiat pelancongan negeri untuk bersiap sedia menerima kehadiran mereka dengan mengenali budaya dan bahasa asas Thailand untuk memudahkan komunikasi serta jual beli yang efektif,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pembukaan Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) Perak di Pusat Konvensyen Ipoh di sini pada Ahad.

Pada masa sama, beliau mengharapkan laluan penerbangan antara Bangkok dan Ipoh boleh diwujudkan dalam merancakkan kehadiran pelancong negara itu.

Tambah Sze Yee, Thai AirAsia telah mengeluarkan video ‘teaser’ untuk mempromosikan Ipoh di laman Instagram mereka bagi mengukur sambutan penerbangan dua hala itu.

“Kita amat berharap daripada sambutan video tersebut. Sekiranya respons yang diterima tidak menggalakkan, ia tidak bagus untuk kita terutama penerbangan ini.

“Diharapkan ada banyak tanda suka dan kongsi terutama daripada orang Perak supaya kita dapat beri sokongan merealisasikan laluan penerbangan ini,” katanya.

Sumber : Sinar Harian Online