Perak menyasarkan 80 peratus liputan rangkaian 5G di kawasan berpenduduk akan dicapai di seluruh negeri itu menjelang hujung tahun ini.
GOPENG: Perak menyasarkan 80 peratus liputan rangkaian 5G di kawasan berpenduduk akan dicapai di seluruh negeri itu menjelang hujung tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Multimedia, Komunikasi dan NGO negeri Mohd Azlan Helmi berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Digital Nasional Bhd (DNB) terutama dalam hal membabitkan lokasi serta kepentingan dalam menyediakan liputan tersebut.
“Kita mahu liputan 5G ini diselaraskan dengan sebaiknya dan sampai kepada golongan sasaran. Sebagai contoh, apabila kilang Proton berpindah dari Shah Alam ke Tanjung Malim, jadi akan berlaku perpindahan manusia dan pemain industri ke sana.
“Jadi dengan perpindahan itu, kita nampak ia sebagai satu kepentingan untuk kita letakkan capaian 5G ini di sana. Lebih penting ia akan memberi nilai tambah dan menarik lebih ramai pelabur berkampung dan mendirikan kilang di Tanjung Malim,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri Hari Terbuka Pejabat Pendidikan Daerah Kinta Selatan (PPDKiS) di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di sini pada Sabtu.
Pada Jumaat, Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad memaklumkan capaian rangkaian 5G dalam kawasan berpenduduk di Perak telah mencapai kadar 70.8 peratus setakat Ogos lepas.
Sementara itu, Mohd Azlan berkata sebanyak 80 sekolah membabitkan lebih 3,000 peserta terdiri daripada guru dan pelajar di daerah Kinta Selatan telah menyertai PPDKiS.
Beliau berkata program tahunan itu secara dasarnya merupakan platform dalam menyebar inovasi dan pencapaian hasil pelajar serta guru berkaitan teknologi, multimedia, makanan, kesenian dan sebagainya.
“Program ini satu wadah yang harus diberikan pujian kerana ia dapat mencungkil bakat dan menarik minat terutama dalam kalangan pelajar untuk lebih berdaya saing dan mampu berfikir secara kritikal khususnya dalam bidang inovasi.
“Jika usaha ini dilakukan berterusan, saya percaya bidang inovasi boleh diperkasakan dan lebih banyak hasil (inovasi) yang lebih bermutu dapat dihasilkan,” katanya.
Program itu turut diserikan dengan penyertaan pameran dan reruai daripada usahawan Industri Kecil Sederhana (IKS) serta agensi kerajaan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Agensi Antidadah Kebangsaan.
Sumber : Astro Awani Online