TAPAH – Kerajaan Perak komited memperkasakan perkhidmatan rawatan bagi menangani isu kesihatan mental yang dihadapi masyarakat di negeri ini.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri, A Sivanesan berkata, setakat ini terdapat 13 pegawai psikologi kaunseling ditempatkan di setiap Pejabat Kesihatan Daerah.

Sementara itu, 12 lagi pegawai berjawatan sama berstatus kontrak berkhidmat di institusi kesihatan di seluruh negeri.

“Memandangkan jawatan ini adalah keperluan sangat penting, saya meminta kerajaan menyerap mereka berstatus kontrak ke jawatan tetap.

“Isu ini akan saya bawa kepada pengetahuan Menteri Kesihatan supaya ia dapat diberi perhatian segera,” katanya selepas merasmikan Bilik Minda Sihat di Klinik Kesihatan Tapah pada Isnin.

Beliau berkata, kebimbangan terhadap perkembangan kesihatan mental semakin meningkat apabila statistik menunjukkan tingkah laku bunuh diri di negeri ini adalah tinggi iaitu 106 kes dari 2022 hingga tahun lalu.

Katanya, hasil kajian dijalankan mendapati, terdapat banyak faktor menjadi punca berlakunya kes tersebut dan dalam hal ini, pihak kaunseling memainkan peranan penting.

“Saya dimaklumkan tahun lalu sahaja, sebanyak 345 program dan kursus berkaitan isu kesihatan mental dijalankan.

“Kerajaan negeri memandang berat isu ini dan tiada masalah menyalurkan peruntukan bagi memastikan lebih banyak program diadakan,” katanya.

Sementara itu, Bilik Minda Sihat dikendalikan pegawai psikologi antara lain menyediakan khidmat kaunseling dan terapi, sumber pendidikan serta aktiviti relaksasi.

Sumber: Sinar Harian