GOPENG – Kerajaan Negeri Perak sedang dalam proses menambah baik capaian internet di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning bagi memastikan kelancaran proses Pilihan Raya Kecil (PRK) yang dijadualkan pada bulan depan.
Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi berkata, ia selepas aduan dan pemakluman termasuk daripada Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berhubung masalah berkenaan khususnya di kawasan kampung.
Katanya, justeru itu pihaknya telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk meneliti perkara itu termasuk melalui kajian lapangan di kawasan tersebut.
“Soal capaian internet ini kita beri perhatian di semua kawasan DUN, cuma memandangkan PRK akan diadakan di Ayer Kuning dan ia akan menarik kehadiran lebih ramai orang ke sini.
“Ia juga secara tidak langsung akan menjadikan capaian internet di DUN Ayer Kuning sesak selepas liputan sedia ada mungkin tidak dapat menampung peningkatan jumlah pengguna yang mendadak.
“Oleh itu, saya sudah maklumkan kepada SKMM untuk melihat perkara ini dan melalui makluman balas, mereka akan turun padang bagi meninjau situasi sebenar di lapangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan program Meriah Beraya Sejahtera Bersama 2025 di Pasar Raya Mydin, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Perak di sini pada Ahad.
Pada majlis, seramai 200 keluarga dalam kawasan DUN Tualang Sekah terpilih menerima wang tunai RM150 bagi membeli keperluan dan persiapan raya melibatkan peruntukan keseluruhan RM30,000.
Mengulas lanjut Mohd Azlan berkata, SKMM akan mengadakan pemantauan di lapangan di kawasan DUN Ayer Kuning bagi membuat penilaian tahap capaian serta mengenal pasti ‘hotspot’ atau lokasi sebenar yang memerlukan penambahbaikan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah berkata, bagi usaha jangka masa panjang, kerajaan negeri juga sedang merancang ke arah pemasangan beberapa menara telekomunikasi baharu bagi memberi liputan lebih baik di kawasan tersebut.
Menurut beliau, pada masa saam pihaknya memberi jaminan bahawa usaha meningkatkan capaian internet di DUN Ayer Kuning akan dilakukan secepat mungkin bagi memastikan perjalanan PRK nanti berlangsung dengan baik.
“Kerajaan negeri mahu perkara ini diselesaikan sesegera mungkin supaya proses demokrasi (dapat diraikan) dengan semua parti yang bertanding boleh menggunakan internet dengan selesa,” katanya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April depan, dengan penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 12 dan 22 April.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin pada 22 Februari lepas akibat serangan jantung selepas menyertai Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru di Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang.
Sumber: Malaysia Gazette