Saarani (dua dari kanan) beramah mesra bersama warga Bangunan Perak Darul Ridzuan (SUK) pada Majlis Sambutan Aidilfitri, hari ini. – NSTP/MUHAMAD LOKMAN KHAIRI.
IPOH: Perak berharap Kerajaan Persekutuan dapat menyegerakan penyaluran peruntukan bagi pembinaan loji rawatan air (LRA) untuk membolehkan negeri itu membekalkan air bersih kepada Pulau Pinang.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata kerajaan negeri bersedia menyalurkan air melalui Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) ke Seberang Perai sebaik peruntukan bagi pembinaan LRA diterima.
“Permohonan kita minta untuk ‘rolling plan’ yang seterusnya kepada kerajaan Persekutuan dan Insya-Allah akan dibincangkan selanjutnya selepas ini.
“Apa yang diumum Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) itu adalah langkah baik sebab kita jangka mungkin lewat, tapi dengan pengumuman itu bermakna LRA itu dapat disegerakan.
“Harapnya pengumuman itu mempercepat apa yang kita minta sebelum ini.
“Sekarang sudah Mei, tak mungkin tahun ini tetapi harapnya sesegera mungkin. Prosesnya panjang lagi, KIGIP pun akan ambil masa tapi yang penting Pulau Pinang perlukan air menjelang 2030,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri 2024 Warga Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Saarani berkata, pembinaan LRA baharu itu akan ibarat ‘serampang tiga mata’ iaitu menyelesaikan masalah kemarau yang dihadapi petani di Kerian, memenuhi keperluan KIGIP dan membolehkan penjualan air terawat kepada Pulau Pinang.
Semalam, Anwar mengumumkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Saarani bersetuju membekalkan air ke Pulau Pinang dari Sungai Perak.
Beliau berkata, fasa pertama bekalan air itu akan meliputi kawasan Seberang Perai Selatan (SPS) termasuk Nibong Tebal dan Sungai Bakap.
Sumber : Berita Harian Online