Saarani (tengah) ketika melawat reruai pameran selepas merasmikan Program Aspirasi Geospastial Negeri Perak di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Isnin.
IPOH – Kerajaan negeri Perak akan memanfaatkan sepenuhnya data dan maklumat diperoleh menerusi teknologi Sistem Maklumat Geografi (GIS) untuk merangka dasar serta membuat keputusan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ketika ini kerajaan negeri telah menubuhkan Unit PerakGIS di bawah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) yang bertanggungjawab mengkoordinasi dan membangunkan pangkalan data geospastial agensi kerajaan negeri.
Menurutnya, penggunaan GIS secara meluas oleh agensi kerajaan negeri akan membawa perubahan dalam aspek pengurusan pentadbiran yang lebih cekap.
“Melihat kepada faedah dan manfaatnya yang begitu banyak, kerajaan negeri menyahut cabaran untuk membangunkan lebih banyak sistem dan aplikasi berasaskan teknologi GIS untuk membantu merangsangkan lagi pembangunan negeri Perak.
“Saya menyeru kepada agensi-agensi kerajaan untuk memanfaatkan perkhidmatan disediakan PerakGIS dan mengalu-alukan perkongsian data oleh agensi-agensi untuk memantapkan lagi penyediaan pangkalan data geospastial negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Aspirasi Geospastial Negeri Perak di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Isnin.
Sementara itu, Saarani berkata, Unit PerakGIS UPEN juga telah berjaya membangunkan aplikasi Geobencana yang merupakan pelaporan digital kawal selia bencana untuk kegunaan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak.
Menurutnya, kewujudan aplikasi tersebut memberi impak kepada kecekapan dan keberkesanan pengurusan bencana khususnya banjir membolehkan pihak bertanggungjawab menilai kawasan-kawasan bencana, memantau jumlah mangsa banjir dan kapasiti semasa pusat pemindahan sementara secara terus.
Dalam pada itu, Saarani juga yakin usaha berkenaan akan dapat memacu agenda pembuatan keputusan berpacukan data yang ditetapkan di dalam pelan Perak Sejahtera 2030.
Sumber : Sinar Harian Online