Gopeng Glamping Park menawarkan penginapan bagi percutian gaya glamor perkhemahan. – Foto Glamping Park

GOPENG: Terkenal dengan tarikan Bukit Batu Putih yang sering dikaitkan dengan kes kehilangan Mohammad Ashraf Hassan atau lebih dikenali sebagai Acap secara misteri pada 23 Mac 2019, Kampung Chulek terletak berdekatan dengannya di sini, tampil dengan keunikan tersendiri.

Dikelilingi pemandangan kehijauan dan kampung tradisional, Gopeng Glamping Park yang menawarkan penginapan bagi percutian gaya glamor perkhemahan, begitu istimewa untuk dikunjungi.

Lokasi itu turut berdekatan sungai yang menjadi tarikan untuk aktiviti berkayak arus deras dan ‘waterfall abseiling’, selain aktiviti luaran lain seperti meneroka Gua Tempurung yang berdekatan di situ dan popular sebagai destinasi pelancongan.

Kemudahan perkhemahan disediakan kemas dan bersih dengan ruangan luas, sesuai bagi yang inginkan aktiviti rekreasi tetapi mahu menikmati kemudahan seperti ala hotel. Malah, ia turut dilengkapi kemudahan seperti dewan, surau dan tapak unggun api.

Pengurus Besar Gopeng Glamping Park, Mohd Riduan Jamaludin, berkata kerjasama serta sokongan muafakat penduduk kampung dengan pihaknya, sama ada penganjuran program rasmi atau bukan, menambahkan seri Kampung Chulek sebagai kawasan ekopelancongan hingga menjadi tumpuan untuk aktiviti riadah termasuk mendaki dan sukan ekstrem.

Katanya, ia bukan sahaja membolehkan lokasi pelancongan itu gah, malah turut memberi manfaat meningkatkan taraf sosiekonomi penduduk kampung.

Katanya, komuniti kampung itu dalam pelbagai lapisan usia amat menyokong program dianjurkan pihaknya dan kerjasama itu sekali gus membantu mereka menjana pendapatan sampingan.

“Penduduk Kampung Chulek banyak membantu pihak pengurusan menganjurkan program seperti pertandingan reka hias kediaman dan kenderaan dengan Jalur Gemilang sempena sambutan Kemerdekaan, baru-baru ini. Ia secara tidak langsung turut mempromosi kampung ini kepada masyarakat luar.

“Begitu juga ketika musim durian berbuah, pihak kami berperanan mempromosikan kepada pengunjung luar yang inginkan raja buah itu supaya pergi terus kepada kebun yang dimiliki penduduk Kampung Chulek.

Kerjasama seperti itu memberikan pengalaman berharga kepada pengunjung dan pada masa sama,

meningkatkan ekonomi penduduk dan indsutri pelancongan secara amnya,” katanya kepada BH.

Usaha itu dilihat sejajar dengan matlamat yang digariskan di bawah pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad untuk memajukan industri pelancongan termasuk pelancongan eko dengan ia dilihat mampu merealisasikan potensi besar aktiviti huluan dan hiliran pelancongan dalam mewujudkan peluang perniagaan serta pekerjaan rakyat di Perak.

Kata Mohd Riduan lagi, Kata Mohd Riduan lagi, selain hal jual beli, pihaknya dan penduduk kampung turut bekerjasama menawarkan perkhidmatan sewaan lori sebagai pengangkutan ke pada pengunjung Gopeng Glamping Park untuk pergi ke lokasi tarikan sekitar, termasuk Bukit Batu Putih dan Gua Tempurung.

“Kami berada di landasan betul dan seiring dengan aspirasi kerajaan negeri melalui pelan Perak Sejahtera 2030. Bagi saya orang kampung sendiri terlalu banyak membantu pihak kami menaikkan taraf sosioekonomi setempat,” katanya.

Sumber : Berita Harian Online