IPOH – Kenaikan bahan binaan bukan penghalang bagi golongan belia khususnya yang berusia antara 30 hingga 40 tahun untuk membeli rumah impian mereka.

Pengurus Besar Kanan Projek Ipoh MK Land Holdings Berhad (MK Land), Norida Abu Kassim berkata, trend pembelian rumah melibatkan belia dilihat mula meningkat sepanjang tempoh lima tahun ini.

Menurutnya, sebagai contoh projek perumahan Balsa melibatkan 74 unit rumah teres dua tingkat di Meru Perdana di sini yang dilancarkan tahun lalu sudah habis terjual.

“Alhamdulillah kami dapati memang in terms of (dari sudut) sokongan ataupun rakyat, masyarakat yang nak membeli rumah memang ramai.

“Tapi mungkin disebabkan oleh kekangan kewangan ataupun mereka mempunyai pendapatan yang (rendah), ini kita cuba bantu dari sudut kewangan supaya mereka boleh beli (rumah).

“Kebanyakan trend yang membeli ini berumur lebih kurang dalam 30 ke 40-an. Jadi, masa ini memang tempoh yang amat sesuai untuk golongan belia membeli rumah memandangkan kos pembinaan meningkat dengan sangat cepat.

“Kita tidak tahu pada sama akan datang (jangkaan kenaikan harga rumah), cuma kita berharap rumah-rumah yang ditawarkan dapat membantu mereka memiliki rumah impian,“ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika menghadiri Jelajah Ramadan MK Land bersama anak-anak yatim dan tahfiz di Galasa Caldwell di sini, semalam.

Seramai 60 anak yatim dan pelajar tahfiz diraikan dalam acara berbuka puasa itu dengan solat Maghrib dan Isyak diikuti solat Tarawih serta moreh. MK Land juga menyerahkan sumbangan duit raya kepada anak-anak berkenaan.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif MK Land, Tan Sri Felina Mustapha Kamal dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Ahmad Soalahuddin Al Thani Ahmad Termizi.

Jelajah Ramadan yang bermula pada 13 Mac dan berakhir pada 24 Mac ini diadakan di empat lokasi utama operasi MK Land iaitu Damansara, Ipoh, Bukit Merah dan Langkawi.

Program ini bertujuan menyantuni lebih 250 anak yatim dan pelajar tahfiz dalam usaha untuk menyebarkan semangat kasih sayang dan kebersamaan dalam bulan Ramadan.

Sumber: Malaysia Gazette