Dua pelancong asing tidak melepaskan peluang merasai pengalaman menaman pokok bakau di Taman Paya Bakau Bandar, Manjung.

MANJUNG – Taman Paya Bakau Bandar di sini, bukan sahaja menawarkan keindahan flora dan fauna, namun memberi peluang kepada para pelancong merasai pengalaman menanam pelbagai jenis pokok bakau.

Bayaran dikenakan hanya serendah RM10 bagi sebatang pokok.

Penolong Pegawai Tadbir Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial Majlis Daerah Manjung (MPM), Zulaila Fitri Yusop berkata, menanam bakau antara aktiviti popular ditawarkan kepada pelancong asing termasuk penuntut institusi pengajian tinggi serta agensi dan jabatan kerajaan.

“Di taman ini terdapat kira-kira lapan jenis bakau antaranya minyak, kurap, berus putih dan perapat. Lebih 100 program (penanaman bakau) dilaksanakan setahun, dengan minimum 1,000 tumbuhan itu ditanam (setahun),” katanya di sini semalam.

Menurutnya, Taman Paya Bakau Bandar Lumut unik kerana ia terletak berhampiran dengan pusat bandar Seri Manjung serta Lumut iaitu satu lokasi yang menjanjikan kedamaian jiwa dan ketenangan fikiran.

“Mana-mana pihak yang me­ngunjungi Taman Paya Bakau Bandar Lumut boleh menikmati flora dan fauna yang terdapat di sana dengan menyelurusi laluan titi konkrit sepanjang 606 meter (m), berjalan di jambatan gantung sepanjang 80m dan di penghujungnya terdapat Sungai Lumut Kanan,” ujarnya.

Jelasnya, bagi mendapat maklumat lanjut berhubung pokok bakau, pengunjung boleh mengimbas kod QR flip book yang disediakan di laluan masuk pusat ekopelancongan itu.

Dalam pada itu, katanya, beberapa siri penambahbaikan telah dilakukan MPM antaranya menggantikan laluan titi yang asalnya kayu kepada konkrit sepenuhnya selain menaik taraf tandas awam.

“Sejak 2020, kami mereka menerima lebih 20,000 pelancong setiap tahun. Segala penambahbaikan dilakukan juga adalah selari dengan pelan Perak Sejahtera 2030 dalam aspek pelancongan pengalaman,” katanya.

Tambahnya, orang ramai ha­nya perlu membayar RM3 sebagai sumbangan kelestarian, manakala kanak-kanak di bawah 12 tahun adalah percuma.

“Sumbangan tersebut bagi membantu kerja-kerja penyelenggaraan taman dan ada masanya pengunjung membayar lebih untuk pemeliharaan tumbuh-tumbuhan di sini,”
katanya.

Taman Paya Bakau Bandar di sini boleh dikunjungi orang ramai bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang pada hari bekerja dan 9 pagi hingga 6 petang (Sabtu dan Ahad).

Sumber : Kosmo Online