BALKIS (tengah) menunjukkan antara produk keluaran jenama Hakak Maneh
Bagan Serai: Bermula dengan menjual pekasam daging dari rumah secara kecil-kecilan kini jenama produk makanan tradisi terkemuka, Hakak Maneh bakal mengorak langkah ke pasaran global.
Pengasasnya, Balkis Mohd Soib, 36, berkata tujuan asal beliau memulakan perniagaan berkenaan demi kebaikan suami, Zulkifli Mahamad, 36, selain meningkatkan taraf hidup keluarga mereka.
Menurutnya, suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori yang waktu kerjanya bermula jam 3 pagi pernah terbabit kemalangan jalan raya sehingga patah bahu kerana masalah tidur yang serius sehingga pernah memerlukan bantuan alat bantuan pernafasan.
“Saya fikir kalau suami saya tiada, bagaimana kehidupan saya dan anak kami Setiap kali bangun pagi memikirkan suami saya esok hidup lagi tak?
“Big why saya bagi berniaga adalah mahu suami berhenti kerja (memandu lori), saya nak buat perniagaan pekasam ini untuk dia. Mujurlah selepas berfikir masak-masak, suami setuju.
“Pada November 2018, kami upah dua orang kakitangan bagi kerja memotong daging dan pembungkusan dengan segala operasi penghasilan pekasam dilakukan di rumah,” katanya.
Balkis yang juga pesara kerani sekolah berkata beliau mengambil keputusan berhenti daripada perkhidmatan awam setahun selepas suaminya berhenti supaya mereka sama-sama dapat memberikan tumpuan kepada perniagaan pekasam.
Jelasnya, jenama Hakak Maneh sudah lama digunakan olehnya di platform Facebook bagi berkongsi segala aktiviti memasak dan dari situlah mereka mula mendapat keyakinan pelanggan.
“Alhamdulillah perniagaan kami pada peringkat awal mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan sepenuh jualan dilakukan melalui platform dagangan atas talian seperti Shopee.
“Pada 2019 kami mula mampu menyewa lot kedai dan memindahkan segala operasi pemprosesan dan perniagaan di Taman Serai PR1MA.
“Ketika itulah, banyak agensi seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Mara, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) melawat dan menawarkan bantuan geran dan pinjaman yang kami manfaatkan dengan pembelian mesin berteknologi tinggi,” kata Balkis yang memaklumkan hasil pendapatan Hakak Maneh antara Januari hingga Ogos tahun ini sudah mencecah RM3.7 juta.
Bercerita lanjut, Balkis berkata, penggunaan mesin berteknologi berkenaan amat membantu Hakak Maneh bagi menjaga kualiti produk dan menjamin kuantiti penghasilan yang mampu memenuhi permintaan pelanggan.
Kini katanya, Hakak Maneh menawarkan 10 produk berasaskan pekasam dan bukan pekasam yang mempunyai pengiktirafan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) dan sijil Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Beliau turut berterima kasih kepada Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad atas pelan pembangunan Perak Sejahtera 2030 menerusi flagship Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembangunan Sepanjang Hayat yang diterajui Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP).
“STeP banyak membantu saya daripada segi pemasaran dengan memberikan peluang menyertai Malaysia Fest di Singapura pada Julai lalu yang membolehkan saya berhubung terus pengedar di negara itu.
“Kini Hakak Maneh dalam proses mendapatkan pengiktirafan Good Manufacturing Practice (GMP) bagi membolehkan produk kami dipasarkan ke Singapura,” katanya.
Balkis berkata, sebaik sahaja pengiktirafan itu diterima Hakak Maneh akan terus merujuk Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim) bagi urusan pembungkusan dan seterusnya pihak Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) bagi menerokai pasaran di beberapa negara.
“Berkat kerjasama bantuan STeP, saya dapat lebih memahami peluang yang ditawarkan pelbagai agensi dan merangka perancangan bagi mengembangkan lagi pendapatan Hakak Maneh,” katanya.
Sumber : Harian Metro Online