Fook Seong yang fasih berbahasa Melayu dan loghat Perak turut mengajar isteri dan anak-anaknya menggunakan bahasa itu. – Foto Bernama
BATU GAJAH – Perkara biasa di negara ini jika melihat bangsa lain fasih berbahasa Melayu, tetapi Wee Fook Seong atau lebih mesra disapa ‘Pak Wee’ bukan hanya fasih berbahasa Melayu malah mampu menguasai loghat negeri Perak.
Ini menjadikan Fook Seong, 34, yang membuka perniagaan kedai aksesori kereta sangat dikenali di Taman Saujana, Batu Gajah, malah mengumpul hampir 300,000 pengikut di laman TikToknya dek kerana kemahirannya bertutur dalam loghat negeri itu.
Malah telatahnya mengajar isterinya, Goh Zhi Xuan, 27, bercakap loghat Perak itu menarik perhatian pengikutnya.
Anak jati Lasah, Sungai Siput ini ketika ditemui Bernama berkata beliau fasih bertutur dalam bahasa Melayu dan loghat Perak kerana bercampur dengan masyarakat Melayu sejak kecil.
“Saya anak peneroka Felda Lasah jadi memang pergaulan dengan masyarakat Melayu dari kecil sudah didedahkan kepada suasana harmoni dalam sesebuah masyarakat.
“Cuma masa tadika memang saya banyak bergaul dengan rakan berbangsa Melayu jadi daripada situ, saya belajar dan bertanya dengan mereka maksud perkataan yang tidak difahami.
“Kemudian saya bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Lintang dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Cina Shing Chung namun keghairahan mendalami bahasa Melayu dan loghat Perak tetap membara,” katanya yang turut memberikan tips mengenai penjagaan kereta dalam bahasa Melayu di laman Facebooknya.
Bercerita lanjut mengenai kemahiran bahasa Melayunya, Fook Seong berkata, beliau pernah disindir oleh rakan-rakan Cina yang lain sebelum ini kerana bertutur dalam bahasa Melayu tetapi menjelaskan mendalami bahasa itu mampu menyatupadukan masyarakat berbilang kaum.
“Saya sendiri menonton filem Melayu, ceramah Ustaz Azhar Idrus, Syamsul Debat dan ceramah agama Islam lain untuk saya menghayati sendiri kepelbagaian budaya dan cara hidup masyarakat Melayu.
“Dalam bidang ilmu pun banyak bahan bacaan dalam bahasa Melayu dan saya sendiri selesa menggunakan bahasa ini sebagai bahasa dalam kehidupan seharian saya, dalam keluarga saya sendiri pun saya perlahan-lahan terapkan penggunaan bahasa ini,” katanya.
Bapa kepada empat anak ini berkata, penggunaan bahasa Melayu mencerminkan jalinan hubungan rakyat Malaysia yang harmoni kerana kemampuan pelbagai etnik secara bersama untuk menuturkan bahasa tersebut.
Beliau berkata, keperluan untuk mengubah persepsi rakyat ketika ini perlu diberi perhatian dalam memastikan semua lapisan masyarakat pelbagai bangsa mampu menguasai bahasa Melayu.
“Memang dahulu ada persepsi terhadap bahasa Melayu kerana beranggapan bahasa Melayu hanya milik orang Melayu sahaja tetapi sebenarnya bahasa ini adalah bahasa untuk semua merentasi semua bangsa.
“Jika anda bukan berbangsa Melayu tetapi mampu menguasai bahasa Melayu ia satu kelebihan begitu juga sebaliknya malah ramai orang Melayu sekarang pun sudah menguasai bahasa Cina.
“Kita boleh lihat masyarakat Cina di Kelantan yang fasih dialek Kelantan, di Kedah pun begitu namun ia sedikit pun tidak menghakis jati diri mereka apatah lagi pegangan agama,” katanya.
Fook Seong menambah tugas mengukuhkan kedudukan bahasa kebangsaan adalah tanggungjawab setiap insan yang lahir di negara ini.
“Penguasaan bahasa kebangsaan ini akan menjadi nilai tambah pada mereka yang bukan Melayu kerana bahasa kebangsaan bukan sekadar bahasa tetapi juga lambang keperibadian dan identiti rakyat Malaysia.
“Jika anda seorang Cina dan boleh bertutur bahasa Melayu maka ia tidak akan menjadikan anda seorang Melayu hingga melupakan terus bahasa Mandarin kerana buktinya saya sendiri masih fasih berbahasa Cina dan mungkin selepas ini nak belajar bahasa Tamil pula,” katanya.
Perkara itu turut diperakui isterinya, Zhi Xuan yang berkata, suami adalah pendorong kepada kejayaannya menguasai bahasa Melayu dengan baik hingga melayakkan beliau untuk lulus dalam mata pelajaran bahasa Melayu.
“Saya memang satu patah perkataan Melayu tidak faham, kalau ujian di sekolah dahulu memang saya tinggalkan kosong kerana satu perkataan pun saya gagal fahami.
“Tetapi Pak Weelah yang banyak mengajar saya mendalami bahasa Melayu, daripada satu patah perkataan hinggalah kini saya mampu bercakap dan bersembang di TikTok melakukan jualan langsung menggunakan bahasa Melayu,” katanya.
Sumber : Sinar Harian Online