Salah satu destinasi pelancongan yang terkenal di negeri Perak akan diketengahkan sepanjang karnival PAC 2024 di Resort Tasik Raban pada 17 Mei ini.
LENGGONG: Jika menuju ke Gerik dari Kuala Kangsar, pasti ramai akan melihat banyak papan iklan ikan pekasam di sepanjang jalan terutama apabila sudah memasuki kawasan Lenggong.
Ikan pekasam adalah satu daripada makanan popular tradisi orang Melayu di Lenggong dan sekitarnya, yang berhampiran dengan Sungai Perak.
Makanan itu juga menjadi sumber ekonomi buat masyarakat tempatan seperti Kiah Abdullah, berusia 66 tahun yang kini berniaga dengan jenama Kiah Pekasam.
Beliau merupakan antara penerima bantuan daripada pelbagai agensi termasuk oleh Kerajaan Negeri Perak yang mahu mempopularkan produk-produk keluaran tempatan.
“Saya memulakan perniagaan hasil tunjuk ajar ibu mentua yang membuat ikan pekasam secara kecil-kecilan untuk dijual di kedai-kedai kampung. Dari situ tercetus idea mengembangkan lagi perniagaan ini,” katanya.
Menurut Kiah, dalam tempoh seminggu anggaran pengeluaran ialah dua tan dan sebulan boleh mencecah lima tan produk ikan pekasam.
“Selain jual di kedai, kami juga membuat penghantaran ke serata kedai dalam negeri Perak dan di luar Perak. Selain itu turut dijual dalam pasar raya utama negara.
“Masyarakat Melayu terutamanya adalah penggemar ikan pekasam. Malah masyarakat Cina juga suka makan produk ini,” katanya yang bangga perusahaannya itu membuka peluang pekerjaan buat penduduk di Lenggong.
Jelasya, antara kelebihan produk Kiah Pekasam adalah menggunakan ikan segar dari sungai berhampiran selain mengekalkan kaedah pengeluaran secara tradisional.
Kiah Pekasam turut diangkat sebagai satu daripada tarikan dalam program Karnival Agropelancongan Perak 2024 (PAC 2024) yang akan diadakan di Lenggong pada 17 hingga 19 Mei ini bersempena Tahun Melawat Perak 2024.
PAC 2024 dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Usaha selari dengan Niche Daerah Hulu Perak sepertimana terkandung dalam Pelan Perak Sejahtera 2030 yang diusahakan oleh Kerajaan Negeri Perak di bawah pimpinan Saarani.
Antara yang terkandung dalam Niche Daerah Hulu Perak ialah mengarusperdana ekonomi berteraskan biodiversiti, selain menepati flagship kelima Pelan Perak Sejahtera 2030 iaitu Program Pembolehdayaan Modal Insan & Pembelajaran Sepanjang Hayat bagi melahirkan usahawan.
Kata Kiah, dia gembira dengan usaha yang dibuat oleh Perak SADC dalam membantu mempromosikan perniagaannya.
Sumber : Kosmo Online