MOHAMMAD NIZAR: Kita ucap terima kasih kepada Kementerian Kewangan kerana beri keutamaan kepada Jalan Persekutuan di Perak, khususnya JRTB Gerik-Jeli. – Gambar fail BERNAMA
IPOH: Langkah kerajaan Pusat meluluskan peruntukan bagi menaik taraf Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, akan mengatasi isu keselamatan pengguna selain memberi manfaat ekonomi kepada Perak dan Kelantan.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata perkara itu yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, adalah bukti komitmen dan keprihatinan kerajaan Persekutuan terhadap isu berkaitan penyenggaraan infrastruktur di Perak, khususnya jalan raya.
“Kita ucap terima kasih kepada Kementerian Kewangan kerana beri keutamaan kepada Jalan Persekutuan di Perak, khususnya JRTB Gerik-Jeli, yang mendapat banyak aduan daripada pengguna kerana sering berlakunya kemalangan akibat keadaan jalan yang rosak.
“Alhamdulillah kerajaan Persekutuan ambil maklum kepentingan kerja-kerja penambahbaikan jalan berkenaan hasil usaha yang dilakukan Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad yang berjumpa sendiri Anwar pada Januari lalu sebelum pembentangan Belanjawan 2023, bagi membincangkan mengenai penggantian struktur laluan JRTB,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Semalam, Anwar ketika pembentangan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) 2021-2025 di Dewan Rakyat, mengumumkan kelulusan peruntukan menaik taraf Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli bagi memberi keselesaan kepada pengguna laluan itu yang semakin bertambah.
Ogos lepas, Anwar mengumumkan peruntukan tambahan RM30 juta bagi menambah baik Lebuhraya Timur Barat di Gerik-Jeli sebagai tambahan kepada peruntukan dalam Belanjawan 2023, menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan bagi JRTB Gerik-Jeli bernilai RM75.676 juta.
Sementara itu, seorang pengguna Nik Kamarul Ariffin Nik Abd Kadir, 39, berkata langkah itu memberi kelegaan kepada pengguna yang selama ini menyifatkan laluan itu tidak begitu selamat kerana sudah terlalu ‘uzur’.
“Macam saya sebulan dua kali pasti akan gunakan laluan itu dan saya tiada pilihan lain dan keprihatinan kerajaan ini memberikan kelegaan kepada pengguna JRTB,” katanya yang berulang-alik Batu Gajah ke Pasir Mas.
Seorang lagi pengguna, John Bunyan, 35, berkata, paling menggerunkan jika pengguna melalui jalan itu pada waktu malam kerana terpaksa berdepan risiko kenderaan rosak.
“Pengguna yang selalu gunakan laluan ini sudah tahu di mana lubang besar atau jalan yang rosak jadi kalau waktu malam bolehlah agak-agak, jika tidak, siap sedia untuk rim kereta anda bengkok atau tayar pecah,” katanya dan menambah pemandu juga perlu berhati-hati dengan haiwan liar khususnya kawanan gajah melintas.
Bagi Ahmad Yusri Ahmad Cabi, 40, penambahbaikan laluan Gerik-Jeli itu sudah lama ditunggu masyarakat setempat termasuk mereka yang sering menggunakan laluan itu ke negeri jiran.
“Saya memang dah lama tunggu laluan ini dilakukan penambahbaikan sebab sudah lama rungutan pengguna disuarakan dan ia juga penting untuk pembangunan, selain merancakkan sosioekonomi yang menghubungkan negeri-negeri berjiran,” katanya yang berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana berjaya menyuarakan rungutan pengguna kepada kerajaan Persekutuan.
Sumber : Astro Awani Online