KUALA KANGSAR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM3.56 juta kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) daripada lima syarikat korporat di Istana Iskandariah di sini pada Sabtu.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md Salleh dalam satu kenyataan memaklumkan, majlis penyerahan zakat itu menyaksikan Lumut Maritime Terminal Sdn Bhd menjadi penyumbang terbesar dengan bayaran sebanyak RM1.49 juta yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mubarak Ali Gulam Rasul.

Menurutnya, Puncak Emas Infra Sdn Bhd turut menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM1.03 juta melalui Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mesnor Bujang, diikuti Royal College of Medicine Perak yang menyerahkan RM400,000 diwakili Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Kampusnya, Hisshamuddin Omar.

Selain itu, TM Technology Services Sdn Bhd menyalurkan zakat sebanyak RM509,262 menerusi Pengurus Besar, Perniagaan TM ONE Wilayah Utara, Ahmad Nazri Ambi, sementara Zaman Motors Sdn Bhd melengkapkan penyerahan dengan jumlah RM124,400 yang diwakili Pengarahnya, Datuk Khadri Khalid.

Syamsul Hazeman merakamkan penghargaan kepada syarikat-syarikat terbabit atas komitmen mereka dalam menunaikan kewajipan zakat yang akan digunakan untuk membantu golongan memerlukan di Perak.

Sementara itu, majlis diakhiri dengan majlis berbuka puasa yang turut dihadiri pegawai agama dan imam.

Sumber: Sinar Harian

ms_MYMalay