IPOH – Kerajaan Perak menyalurkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri sebanyak RM500 kepada guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dan guru takmir di negeri ini.

Menteri Besar Ipoh, Datuk Seri Saarani Mohamad menerusi satu kenyataan memaklumkan bantuan itu membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM1.75 juta yang memanfaatkan 3,495 penerima itu dijangka dikreditkan pada Jumaat ini.

“Bagi menghargai jasa dan pengorbanan para pendidik agama Islam, erajaan negeri membuat keputusan memperluaskan pemberian BKK Aidilfitri supaya turut dinikmati guru KAFA dan guru takmir di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk).

“Diharapkan bantuan ini dapat membantu meringankan beban kewangan golongan berkenaan menjelang sambutan Aidilfitri serta menyemarakkan lagi kegembiraan dalam menyambut lebaran yang bakal tiba,“ katanya.

Sebelum ini, kerajaan negeri mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri sebanyak RM1,500 kepada 13,582 penjawat awam negeri, termasuk guru lantikan negeri, Orang Besar Jajahan (OBJ), ketua kampung serta kakitangan di bawah kontrak Program Malaysia Short-term Employment Programme (MySTEP).

Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri sebanyak RM250 kepada guru KAFA, guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja dan marbut di negara ini.

Beliau berkata bantuan itu akan dibayar minggu depan membabitkan 70,000 penerima dengan peruntukan RM17 juta. 

Sumber: Malaysia Gazette Perak

ms_MYMalay