IPOH – Kerajaan Perak meneruskan momentum pertumbuhan apabila mencatatkan lebihan pendapatan RM45.62 juta bagi tahun 2024.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia merupakan pencapaian terbaik bagi tahun ketiga berturut-turut sejak 2022, membuktikan keberkesanan pengurusan kewangan negeri dalam era pasca-pandemik.
“Sukacita saya maklumkan khabar gembira bahawa Perak sekali lagi berjaya menutup akaun dengan surplus Akaun Hasil Disatukan bagi tahun 2024.
“Berdasarkan laporan yang belum diaudit, nilai surplus yang direkodkan ialah RM45.62 juta.
“Ini merupakan catatan surplus bagi tiga tahun berturut-turut, mencerminkan kemampuan kita meneruskan momentum kebangkitan selepas bergelut hambatan pandemik Covid-19,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Executive Talk dan Perutusan Tahun Baru 2025 di Hotel Casuarina@Meru di sini pada Khamis yang turut dihadiri lebih 700 penjawat awam.
Saarani berkata, prestasi kutipan hasil negeri juga menunjukkan pengukuhan memberangsangkan apabila mencatatkan RM1.332 bilion sepanjang tempoh tahun lepas.
Katanya, jumlah itu melibatkan peningkatan sebanyak RM118 juta berbanding tahun 2023 dan merupakan tertinggi dalam sejarah.
“Berkat pengurusan kewangan yang berhemah, Perak juga menerima pengiktirafan Sijil Ketua Audit Negara Tanpa Teguran bagi Penyata Kewangan Kerajaan Negeri 2023.
“Kedudukan ini sekali gus menjadikan Perak antara lima negeri terbaik dalam tadbir urus kewangan,” katanya.
Dalam ucapannya, Saarani turut menggariskan lima fokus utama bagi tahun 2025 sebagai langkah mempercepatkan kemajuan agenda Perak Sejahtera 2030.
Fokus tersebut termasuklah usaha memperkukuh ekonomi mapan dan berkelanjutan, sistem penyampaian berimpak tinggi, menggilap modal insan menuju Perak Sejahtera 2030, menerapkan teknologi dan inovasi dalam memacu perubahan serta kelestarian dan kesiapsiagaan menghadapi bencana.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menekankan kepentingan agar kerajaan negeri melaksanakan konsultasi dengan pelbagai pihak sebelum membuat sebarang keputusan penting khususnya berkaitan cadangan memperkenalkan cukai baharu.
“Walaupun kita berniat baik untuk meningkatkan mutu perkhidmatan, kita sentiasa diasak dengan segala macam kritikan.
“Tiada rakyat yang suka dengan kenaikan cukai, namun keputusan ini boleh diterima jika kerajaan berjaya merapatkan jurang persepsi antara kerajaan dan masyarakat.
“Rakyat sebagai pembayar cukai mahu perkhidmatan kerajaan setimpal dengan setiap ringgit dan sen yang dikutip,” katanya.
Sumber: Sinar Harian