IPOH: Kadar peratusan penduduk warga emas yang tinggi di negeri ini akan menjadi antara faktor utama dalam merangka Dasar Perumahan Negeri Perak 2.0.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata, faktor penduduk menua menjadi perhatian kerajaan Perak dalam dasar tersebut yang diharap dapat dilancarkan pada separuh kedua 2025.
“Kita juga ambil kira kesediaan untuk menghadapi masyarakat menua. Dari segi dasar, ia menjadi penekanan. Ini sesuatu yang sebelum ini tidak menjadi perbincangan,” katanya kepada pemberita selepas majlis sumbangan amal Ramadan dan penyerahan surat tawaran program Rumah Mesra Rakyat (RMR) di sini hari ini.
Perak diramal menjadi negeri terawal berstatus menua kerana peratusan golongan warga tua yang tinggi sekitar lebih 14 peratus daripada jumlah penduduk.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad sebelum ini bagaimanapun tidak bersetuju dengan label tersebut kerana yakin pelan Perak Sejahtera 2030 akan mencipta banyak peluang pekerjaan dan sekali gus mengekalkan ramai golongan muda di Perak.
Selain itu Sandrea berkata, dasar perumahan baharu itu juga akan menambahbaik dasar terdahulu termasuk dari segi penyediaan rumah mampu milik.
Sementara itu Pengerusi SPNB, Datuk Prof. Dr. Mohd. Azmi Mohd. Lila berkata, bagi tahun ini sejumlah 849 unit RMR akan dibina di Perak dengan peruntukan sebanyak RM63.67 juta.
“Sejak program RMR diperkenalkan pada 2002, sebanyak 69,848 unit telah dibina dan diserahkan kepada golongan yang memerlukan di seluruh negara. Bagi negeri Perak sebanyak 7,355 unit telah berjaya dibina,” katanya.
Sumber: Utusan