IPOH: Kerajaan negeri Perak melalui Pusat Aspirasi Perak (PASAK) terus memperkasa agenda latihan kemahiran bagi memastikan lebih ramai anak Perak memdapat peluang pekerjaan berkualiti di dalam dan luar negara.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India, Sivanesan Achalingam berkata, sejak dilancarkan pada 15 Jun 2022, PASAK telah mengambil langkah dengan menawarkan latihan dalam pelbagai bidang, termasuk program Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) di luar negara.

“Ketika ini, terdapat pelajar dari Perak yang sedang menjalani latihan di China, dan tidak lama lagi, sebahagian lagi akan dihantar ke Jerman setelah menyelesaikan kursus bahasa Jerman mereka di Putrajaya.

“Modul latihan PASAK telah dikemas kini bagi memenuhi keperluan industri semasa, terutamanya dalam bidang kecerdasan buatan (AI) yang semakin mendapat permintaan tinggi di pasaran tenaga kerja,” katanya.

Dalam usaha menyediakan tenaga kerja mahir, PASAK turut memberi tumpuan kepada Proton City di Tanjung Malim, yang dijangka memerlukan sekurang-kurangnya 10,000 pekerja dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Kami sudah berbincang dengan pihak majikan di Proton City yang hanya menggaji pekerja tempatan. Namun, buat masa ini, permintaan mereka tidak dapat dipenuhi sepenuhnya kerana jumlah pelatih yang dihasilkan PASAK masih sekitar 2,000 hingga 2,500 orang setahun,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa bersama Media, di sini malam tadi.

Sehubungan itu, beliau berkata bahawa PASAK berhasrat meningkatkan kadar pengambilan pelatih baharu sebanyak 20 peratus setiap tahun, dengan keutamaan diberikan kepada anak kelahiran Perak.

Beliau turut menggalakkan ibu bapa untuk mempertimbangkan laluan TVET lebih awal bagi anak-anak mereka yang kurang cemerlang dalam akademik, memandangkan kerajaan negeri menyediakan latihan percuma serta elaun sepanjang tempoh latihan.

“Pelatih seawal usia 18 tahun berpeluang memperoleh pendapatan minimum RM1,800 hingga RM2,500 bergantung kepada industri dan latihan yang mereka pilih. Ada juga yang mampu membuka perniagaan sendiri selepas tamat latihan dengan bimbingan PASAK,” katanya.

Mengulas mengenai sumber pembiayaan, Sivanesan berkata PASAK tidak boleh hanya bergantung kepada peruntukan kerajaan negeri semata-mata, sebaliknya perlu mencari alternatif lain bagi menampung kos latihan yang semakin meningkat.

“Dari hanya RM5 juta pada permulaan, kini PASAK telah menerima peruntukan sekitar RM9 juta. Dengan sokongan kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan, kita mampu melatih lebih ramai tenaga mahir,” katanya.

Selain itu, PASAK telah menjalin kerjasama erat dengan Jabatan Pendidikan Negeri Perak bagi memberi taklimat kepada pelajar Tingkatan Empat dan Lima tentang peluang latihan yang tersedia.

“Setiap tahun, kira-kira 31,000 pelajar memasuki Darjah Satu. Jika kita dapat menarik 30 hingga 50 peratus daripada mereka untuk menyertai PASAK dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang, ia merupakan satu pencapaian besar dalam membangunkan tenaga kerja tempatan,” katanya.

Sumber: Buletin TV3

ms_MYMalay